SELAMAT DATANG...

Bunyi gendang bertalu-talu
Gendang dipukul anak Mak Cumi
Janganlah segan, janganlah malu
Singgahlah masuk ke halaman kami


Khamis, 4 Mac 2010

Cerita jenaka

Pak Belalang

Pada suatu hari, datanglah seorang saudagar ke istana. Oleh sebab saudagar itu seorang yang sangat kaya-raya, Baginda Raja menyambut kedatangannya dengan penuh acara gilang gemilang.
“Patik mendapat khabar tuanku mempunyai seorang ahli nujum yang sangat pintar dam masyhur. Patik ingin menguji kepintaran ahli nujum itu,” kata saudagar tersebut.
Baginda Raja bersetuju dengan cadangan saudagar itu. Syarat yang dikenakan ialah jika saudagar itu menang, beliau akan memperoleh hadiah seratus peti berisi emas. Jika kalah, tiga buah kapal dan segala muatannya yang dimiliki saudagar itu akan diberikan kepada raja.
Baginda Raja lalu memanggil Nujum Pak Belalang dan memberitahu tentang perkara itu. Mahu tidak mahu, terpaksa Pak Belalang bersetuju. “Matilah aku kali ini!” ujar Pak Belalang dalam hatinya. Badannya sudah menggigil.
Pada sebelah malamnya, Pak Belalang memberitahu hal itu kepada anaknya. Belalang turut bersedih hati. “Hendak lari, sudah tidak dapat lagi. Kalau tidak lari, esok akan mati!” kata Pak Belalang sambil menangis. “Inilah akibatnya, kalau hidup suka menipu,” fikir Pak Belalang lagi. Semalam-malaman itu, Pak Belalang tidak dapat tidur kerana asyik menangis tersedu-sedu.
“Nasi sudah menjadi bubur. Esok akan masuk kubur!” Pak Belalang asyik berkata begitu sepanjang malam itu.
Manakala anaknya, Belalang pula tidak mahu berputus asa. Belalang lalu berkayuh perahu dan pergi ke kapal saudagar tersebut. Dia naik ke atas kapal dan mengintip perbualan saudagar itu. Sekali-sekala, dia mendengar saudagar itu ketawa. “Pak Belalang itu tentu tidak akan dapat menjawab teka-teki kita,” kata saudagar itu kepada beberapa orang anak buahnya.
Belalang sangat gembira kerana dapat mengintip rahsia teka-teki saudagar itu. Dia segera berkayuh pulang untuk memberitahu jawapan teka-teki itu kepada bapanya. Ketika tiba di rumah, dia terdengar bapanya masih menangis, “Nasi sudah menjadi bubur. Esok akan masuk kubur!”
Keesokan harinya, Pak Belalang bersegera pergi ke istana. Mukanya berseri-seri. “Beta berharap Ahli Nujum Istana tidak akan memalukan beta,” ujar Baginda Raja. Pak Belalang tersenyum lebar sambil berkata, “Ampun, tuanku! Patik boleh menolong tuanku untuk memenangi teka-teki ini. Tetapi hendaklah dengan suatu syarat.” Baginda Raja ingin mengetahui syarat itu. “Hari ini, kitab nujum patik sudah tinggal satu halaman terakhir. Selepas itu, patik tidak boleh menjadi penujum lagi. Jikalau patik menujum juga, nescaya patik akan menjadi batu.”
Termenunglah Baginda Raja mendengar kata-kata itu. “Baiklah! Beta bersetuju dengan syarat itu,” ujar baginda.
Gong dipalu tiga kali menandakan pertandingan itu akan dimulakan.
“Teka teki pertama,” saudagar memulakan teka-tekinya. “Apakah jawapan bagi perkara ini: Banyak, sedikit, jarang-jarang, kadang-kadang.”
Pak Belalang lalu menjawab, “Banyak ialah orang beristeri satu. Sedikit ialah orang yang beristeri dua. Jarang-jarang ialah orang yang beristeri tiga. Kadang-kadang ialah orang beristeri empat.”
Termenunglah saudagar itu mendengar jawapan tersebut. Pintar sungguh ahli nujum ini, fikirnya dalam hati. “Betullah jawapan itu,” saudagar tersebut mengakui jawapan Pak Belalang.
“Teka-teki kedua,” kata saudagar itu lagi. “Sekarang tengok batang kayu yang terapung di atas permukaan air ini. Yang manakah pangkalnya dan yang manakah pula hujungnya?”
Pak Belalang berpura-pura termenung sejenak sambil terkomat-kamit membaca mantera. Raja dan para pembesar berasa cemas kalau-kalau Pak Belalang tidak dapat menjawab teka-teki yang semakin sukar itu.
“Yang tenggelam itulah pangkalnya kerana lebih berat. Yang terapung itu ialah hujungnya kerana lebih ringan,” Pak Belalang memberikan jawapannya.
“Betul,” ujar saudagar sambil termenung panjang. Dia tidak menyangka Pak Belalang sungguh pintar.

“Teka-teki terakhir,” ujar saudagar itu lagi. “Dalam bekas air yang besar ini ada dua ekor itik yang sama rupanya. Yang manakah itik jantan dan yang manakah pula itik betina?”
Raja, para pembesar, dan sekalian rakyat yang hadir berasa sangat cemas. Mereka sendiri tidak dapat membezakan jantina kedua-dua ekor itik itu. “Kalahlah beta, kalau Ahli Nujum Istana tidak dapat menjawab teka-teki terakhir ini,” Baginda Raja berkata dalam hatinya.
Lambat-lambat Pak Belalang memberikan jawapannya, “ Yang hadapan itu ialah itik betina dan yang di belakang itu pula ialah itik jantan.”
Terkejutlah saudagar itu apabila mendengar Pak Belalang dapat memberikan jawapan yang tepat. Namun, dia masih belum berpuas hati, “Berikan alasannya sebelum jawapan ini dapat disahkan.”
“Alasannya mudah saja. Itik jantan mengejar itik betina. Tidak pernah terjadi, itik betina mengejar itik jantan. Itulah sebabnya itik jantan berada di belakang dan itik betina berada di depan,” Pak Belalang memberikan alasannya.
Pengsanlah saudagar itu apabila mendengar jawapan tersebut. Raja, para pembesar, dan sekalian rakyat yang hadir bersorak-sorai mendengar jawapan tepat daripada Pak Belalang. Baginda Raja berasa sangat sukacita kerana berjaya memenangi pertandingan teka-teki itu.
Tidak lama kemudian, sedarlah saudagar ini daripada pengsannya. Sebaik saja dia berdiri, tiba-tiba seekor serangga terbang hinggap di lengannya. Dia segera menangkap dan menggenggam serangga itu.
“Wahai Ahli Nujum Istana! Jikalau kamu benar-benar pintar menujum, cubalah teka apakah yang ada di dalam genggamanku ini?” saudagar itu masih ingin menguji kepintaran Pak Belalang.
“Wahai saudagar! Kita sudah berjanji, jumlah teka-teki hanyalah tiga soalan sahaja. Semua sudah berjaya kujawab dengan tepat,” ujar Pak Belalang.
Semua yang hadir berdiam diri.

BERSAMBUNG...

Tiada ulasan: