SELAMAT DATANG...

Bunyi gendang bertalu-talu
Gendang dipukul anak Mak Cumi
Janganlah segan, janganlah malu
Singgahlah masuk ke halaman kami


Khamis, 28 Februari 2008

Tinggal Sehari Lagi!

Murid-murid sekalian, tinggal sehari sahaja untuk kamu sertai Kuiz Bulan Februari. Bagi mereka yang belum mengirimkan jawapan, apa lagi - kirimkanlah jawapan kamu.

Berikut adalah soalan-soalan kuiz bagi murid-murid yang terlupa:

Untuk pelajar-pelajar P1 hingga P3, inilah soalan kuiz anda:

(1)jika tuan membeli tikar
tikar anyaman dari mengkuang
kalau tuan bijak pintar
ular apa membelit pinggang

Apakah jawapannya?

Untuk pelajar-pelajar P4 hingga P6, inilah soalan kuiz anda pula:

(1) budak2 bermain batu
batu dikira satu persatu
badannya lurus bermata satu
ekornya tajam apakah itu

Apakah jawapannya?


Kirimkan ke alamat: JabatanBahasaMelayu@gmail.com

Sertakan nama kamu, kelas dan juga nama guru bahasa Melayu kamu.

Jika murid-murid tidak ada emel, boleh juga tuliskan jawapan di kertas dan berikan kepada guru bahasa Melayu murid-murid.

Setakat ini cikgu hanya menerima beberapa penyertaan sahaja. Kuiz untuk bulan Mac akan bermula pada 1 Mac nanti.

Jumaat, 22 Februari 2008

Santai-Santai

Mangga ranum digigit kelawar
lalu tidak dapat dimakan Hajar
Apa ubat apa penawar
Rasa ngantuk apabila belajar?


Siapa sudi beli pantun ini? Kirimkan jawapan kamu di ruangan komen!

Rabu, 20 Februari 2008

Cetusan Ilham Luahan Rasa

Iffah Aziqah dari kelas 5 Respect telah mencipta sajak yang bertajuk "Cikgu". Sajak ini telah dideklamasikan pada tahun lepas dan telah memenangi tempat pertama. Mari kita hayatilah isi sajak ini bersama-sama.
(Terima kasih Iffah Aziqah kerana sudi menyumbangkan sajak kamu kepada blog Lensa ini. Cendera hati akan cikgu berikan kepada cikgu kamu nanti, ya!)


Kau adalah obor
yang menyirami
penghidupanku

Dengan didik asuhmu
maka aku mendapat
segala ilmu untuk
masa depanku

Tanpa didikan dan
tunjuk ajarmu
maka pincanglah aku
tak tentu arah
tiada pedoman
tiada disiplin

Seperti tin kosong
yang mudah untuk
dicampakkan dan diletakkan
di mana-mana sahaja

Kaulah pendidikku
sejak di bangku
sekolah rendah
hingga ke tingkatan atasan

Terima kasih cikgu
jasamu akan aku
kenang untuk
selama-lamanya



Para pelajar lain yang ada hasil tulisan sendiri (sajak,pantun atau karangan) yang mahu diketengahkan di dalam blog Lensa ini, harap berikan hasil tulisan pelajar kepada guru bahasa Melayu atau terus kepada Cikgu Noor. Jangalah malu atau segan. Kalau ada bakat terpendam, jangan disembunyikan! :)


- Cikgu Noor -
(mewakili guru-guru bahasa Melayu Admiralty yang lain)

Selasa, 19 Februari 2008

Santapan Minda 2

kKirimkan komen-komen kamu berserta nama dan nama guru ya. Tidak perlu takut-takut atau segan-segan untuk menyatakan nama masing-masing. Anda bebas bersuara (selagi tidak ada cerca-mencerca dan peradaban terjaga.) :)

Baiklah, topik kita minggu ini adalah berikut:

Pentingnya mengambil bahagian dalam perbincangan kelas.

Berikan pendapat pelajar sekalian mengenai topik ini.

Nota: Masih ramai yang belum menghantar jawapan bagi kuiz Februari. Diharap para pelajar dapat memeriahkan lagi blog ini dengan mengirimkan jawapan pelajar ke alamat emel : JabatanBahasaMelayu@gmail.com

Soalan kuiz ada di dalam kiriman arkib bulan Januari.


Cikgu Noor

Selasa, 12 Februari 2008

Santapan Minda 1

Salam sejahtera semua! Saya ingin mengumumkan bahawa setiap hari Selasa merupakan hari untuk ruangan Santapan Minda. Apa itu Santapan Minda? Bukan sahaja perut kita memerlukan makanan, minda kita juga memerlukan "makanan" juga! Oleh itu, ruangan ini dicetuskan untuk keperluan tersebut.

Dalam ruangan ini, Cikgu akan mengutarakan satu topik baru setiap minggu, Insya'Allah. Para pelajar dijemput memberikan komen atau pendapat kamu mengenai topik-topik tersebut. Untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan, ada cendera hati untuk pelajar-pelajar yang mengambil bahagian. Catatkan pendapat kamu di dalam bahagian Komen selepas kiriman Cikgu ini. Usah letakkan komen di dalam Chatbox kerana komen-komen kamu itu akan hilang nanti setelah chatbox itu penuh.

Harap sertakan sekali nama kamu, guru bahasa Melayu kamu dan juga kelas kamu. Cendera hati akan diberi melalui guru bahasa Melayu kamu. Cikgu juga berharap agar para pelajar menggunakan bahasa Melayu yang sepenuhnya semasa memberikan komen, ya. Jangan merosakkan keindahan bahasa Melayu kita dengan kekata dari bahasa Inggeris atau pun bahasa pasar. Mungkin pada permulaan amat payah untuk menulis atau bertutur dalam bahasa Melayu tetapi jika kita kerap melakukannya, perkara itu tidak akan menjadi sesuatu yang janggal lagi seperti kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

Baiklah, topik Santapan Minda kita hari ini ialah:

"Pelajar-pelajar sekarang tidak boleh berbual dalam bahasa Melayu dengan fasih dan yakin. Setujukah kamu dengan pernyataan ini?"

Berikan sebab-sebab mengapa kamu setuju atau tidak setuju dengan ayat tersebut.

Salam hormat,

Cikgu Noor

Isnin, 4 Februari 2008

Cetusan Ilham Luahan Rasa

Kepada pelajar-pelajar sekalian,

LENSA ingin menyediakan ruang bagi para pelajar mengenengahkan bakat terpendam kamu dalam penulisan. Jika pelajar boleh menulis cerpen, sajak, pantun, teka-teki dan sebagainya, hantarkan karya pelajar kepada guru Bahasa Melayu kamu atau kepada saya sendiri. Jangan lupa sertakan nama penuh, kelas dan juga tajuk karya kamu itu. Karya-karya yang terpilih akan mendapat cendera hati daripada LENSA. Usah rasa malu atau segan, ya!

Cikgu nantikan karya-karya pelajar semua!


Cikgu Noor
bagi pihak guru-guru Bahasa Melayu
Sekolah Rendah Admiralty