SELAMAT DATANG...

Bunyi gendang bertalu-talu
Gendang dipukul anak Mak Cumi
Janganlah segan, janganlah malu
Singgahlah masuk ke halaman kami


Isnin, 15 Mac 2010

Pantun teka - teki

Pantun teka - teki ini kami sediakan untuk kawan - kawan mencuba menjawabnya. Anda bukan sahaja boleh merehatkan minda selama cuti sekolah ini, malahan anda juga membolehkan minda anda bekerja. 5 orang pertama yang pertama yang mejawab kesemua pantun teka - teki ini dengan betul anda akan memperolehi hadiah daripada kami. Tarikh tutup kuiz ini adalah 31 Mac 2010 bulan ini. Anda boleh hantarkan jawapan anda kepada kami


Soalan 1:

Ada satu isteri yang baik,
Ia berjalan adik-beradik,
Sebab budi bahasa baik,
Enam puluh anak di didik.

Soalan 2:
Bunyi bising sepeti syaitan,
Terhinggut-hinggut jalan perlahan,
Badannya panjang seperti lipan,
Sanggup memikul seberat-berat muatan.

Soalan 3:
Bulat dia macam telinga,
Tumbuhnya dia merata-rata,
Bila hujan, banyaklah dia,
Boleh disayur berbagai cara.

Soalan 4:
Jika tuan membeli tikar,
Tikar anyaman dari mengkuang,
Jika tuan orang yang pintar,
Ular apakah yang membelit pinggang.

Ingat ya kawan - kawan semua. Jangan tak sertai kuiz ini! Siapa yang malu, dia yang rugi!:P Kami akan memberikan hadiah selewat - lewatnya pada awal bulan April. Jangan lupa sertakan nama, kelas melayu dan tarikh anda hantar. Anda tidak perlu mencetak jawapan. Tulis sahaja di kertas kosong. Anda digalakkan menyertai kuiz ini! Sekian terima kasih. Selamat mencuba!

~ Qamariah & Shukrina*

Pantun Nasihat

Pantun Budi Bahasa:

Anak merak kampung Cina,
Singgah berhenti kepala titi,
Emas perak kebesaran dunia,
Budi bahasa tidak dapat dicari.


Pantun Warga Negara:


Sungguh harum si bunga Sena,
Tumbuh pula di rumah pangsa,
Jadilah warga yang berguna,
Dapat kita membela bangsa.

Pantun Ilmu:

Gunung tinggi indah berbanjal,
Banyak tumbuh si pohon ara,
Jangan malas apabila belajar,
Tiada ilmu hidup sengsara.

~ Qamariah & Shukrina :P
Diambil dari buku 'Pantun Melayu Warisan Bangsa'

Khamis, 4 Mac 2010

Berita Admiralty

Berita Admiralty
Sudah beberapa minggu kami tidak tulis apa-apa dalam Lensa.
Jadi, sekarang kami sudah memikirkan beberapa topik untuk Berita Admiralty.

Kertas Ujian
Kawan-kawan pasti sudah membuat ujian, ya? Ada yang merasakan bahasa ia susah, ada yang berkata ia senang, masing-masih lah ya? Sekarang, guru kami sedang memberikan kami kertas-kertas itu semula untuk membuat pembetulan. Kawan-kawan gembira akan keputusan sendiri? Ada yang tidak gembira dengan keputusan mereka juga.. Harap-harap kawan-kawan akan lulus semua subjek dengan cemerlang (:

Cerita Jenaka 2

“Jawablah teka-teki itu. Biar saudagar itu benar-benar berpuas hati,” titah Baginda Raja kepada Pak Belalang.
“Tuanku!” kata Pak Belalang. “Tadi patik sudah memberitahu. Kitab nujum patik sudah tinggal satu halaman akhir.”
“Tadi Ahli Nujum memberitahu beta bahawa masih boleh menujum untuk hari ini. Selepas hari ini, barulah tidak boleh menujum lagi. Jawablah teka-teki itu, walaupun dengan hanya sepatah perkataan saja,” titah Baginda Raja.
Pak Belalang tidak mempunyai sebarang alasan untuk berdalih lagi. Seisi istana senyap sunyi. Mereka tidak sabar menunggu Pak Belalang menunjukkan kepintarannya menjawab teka-teki itu!
“Silalah jawab, wahai Ahli Nujum Istana!” titah Baginda Raja lagi.
Apa lagi! Menggeletarlah kedua-dua lutut Pak Belalang. Badannya menggigil. Matilah aku sekali lagi, fikir Pak Belalang dalam hatinya. Sedihlah hati Pak Belalang mengenang akan nasib dirinya. “Hai, Belalang!” Pak Belalang mengeluh panjang sambil menyebut nama anaknya.
Sebaik saja mendengar kata-kata Pak Belalang itu, pengsanlah saudagar itu sekali lagi.
Baginda Raja turut terkejut apabila melihat saudagar itu pengsan sekali lagi. “Cuba lihat dalam genggaman saudagar itu. Apakah benda yang ada di dalam genggamannya?” titah Baginda Raja.
Sebaik saja genggaman itu dibuka, didapati ada seekor belalang. “Betullah jawapan itu tadi. Patutlah saudagar ini jatuh pengsan. Rupa-rupanya betullah belalang!” ujar Baginda Raja.
Seisi istana bersorak-sorai kerana Pak Belalang berjaya memberikan jawapan tepat.
Baginda Raja tersangat sukacita. Ketiga-tiga buah kapal dan segala isi muatannya menjadi milik baginda. Terpaksalah saudagar itu dan sekalian anak kapalnya pulang sehelai sepinggang dengan mengayuh perahu. Pak Belalang menerima hadiah harta kekayaan daripada raja. Namanya termasyhur sebagai ahli nujum terbilang dan menjadi sebutan di mana-mana saja. Sejak itu, Pak Belalang menjadi kaya-raya dan hidup bahagia.
Pak kaduk
Kisah ini bermula di dalam sebuah negeri yang diberi nama Cempaka Seri. Rajanya bernama Indera Seri. Raja Indera Seri ini terkenal dengan sikap sombong dan suka berjudi. Disebabkan keasyikannya menjadikan judi sebagai amalan seharian telah mendorong kebanyakan rakyat di negerinya leka dengan berjudi. Mereka terlalu asyik hingga melupakan syariat yang sepatutnya mereka ikuti kerana pada ketika itu raja-raja dan orang-orang besarnya memang amat suka melakukan pemaksiatan tersebut.

Di tepi hulu sungai negeri tersebut tinggal seorang tua dalam umur pertengahan bernama Pak Kadok. Pak Kadok seorang yang lurus bendul dan kurang daya pemikirannya. Pada suatu hari Pak Kadok berkata pada isterinya Siti, "aku ingin pergi menyabung digelanggang baginda Raja kerana aku amat suka melihat keadaan orang yang ramai menyabung di situ". "Kita bawa si Kunani ayam kita sebab ayam ni amat bertuah, kita pertaruhkan kampung kita kepada Raja, kalau kita menang tentulah kita akan mendapat duit dari Raja" sambung Pak Kadok Lagi.

Isteri Pak Kadok berkata,"jika begitu baiklah, pergilah awak menyabung bawa ayam kita. Sahut Pak Kaduk," jahitkan baju dan seluar aku dahulu dari kertas yang baru kubeli ini. Lekaslah menjahitnya.

Kata isteri Pak Kadok, "bagaimana hendak membuat baju dan seluar ini?, kalau dipakai tentu akan koyak. Tak mengapa buatkan juga aku nak pergi" rungut Pak Kadok.

Isteri Pak Kadok tidak berdaya lagi melayan percakapan Pak Kadok, lalu ia mengambil gunting dan mula mengunting kertas tersebut untuk dibuat seluar dan baju. Pak Kadok menyuruh isterinya supaya tidak menjahit seluar dan baju tersebut hanya perlu guna pelekat sahaja supaya cepat siap.

Apabila siap, Pak Kadok dengan berasa bangga memakainya dan pergilah ia kegelanggang tersebut. Selang tiada berapa lamanya Pak Kadok sampai digelanggang tersebut. Baginda Raja kenal dengan Pak Kadok, apabila baginda terlihat Pak Kadok lalu disapanya, "hai Pak Kadok apa khabar? menyabung kita?".

Maka Pak Kadok pun segeralah menyembahkan ayam sabungannya kepada baginda. Setelah diamati baginda berasakan ayam sabungan Pak Kadok amat berpontensi untuk menang. Lalu baginda mencadangkan agar ayam sabung Pak kadok ditukar dengan ayam sabungannya. Baginda berkata " Pak kadok ambilah ayam sabung beta yang amat bertuah ni berbanding dengan ayam Pak Kadok yang kurang tuahnya".

Setelah mendengar titah Raja tersebut, Pak Kaduk dengan suka citanya bersetuju untuk menukar ayam sabungannya dengan Raja. Setelah pertukaran dibuat, baginda Raja bertanya pada Pak Kadok "apakah pertaruhannya kita kali ini?". Maka sembah Pak Kadok, "ampun tuanku, patek ini tiada harta hanya kampung tempat tinggal patek yang ada, jadi kampung tersebut patek pertaruhkan". Baginda Raja bersetuju dengan apa yang Pak Kadok persembahkan.

Pak Kadok mengadaikan kampung halamannya sebanyak 100 Rial atas persetujuan bersama baginda Raja. Tetapi baginda Raja telah menyorok sebahagian wang gadaian tersebut. Setelah persetujuan pertaruhan selesai penyabungan pun bermula.

Dalam pertempuran tersebut ayam sabungan Pak Kadok Si Kunani telah berjaya mengalahkan ayam sabungan Baginda Raja Si Jalak. Setelah melihat Si Jalak sudah mati, Pak Kadok melompat kegembiraan sehingga terlupa bahawa Si Kunani telah menjadi milik Raja. Oleh kerana terlalu asyik melompat kegembiraan seluar dan baju kertasnya tadi habis terkoyak dan bertaburan, bertelanjang bulatlah Pak Kadok di khalayak ramai.

Semua orang termasuk baginda Raja tertawa terbahak-bahak melihat telatah Pak kadok. Baru Pak Kadok perasan bahawa pakaiannya sudah koyak semuanya. Pak Kadok berasa amat malu lalu terus melarikan dirinya tanpa menoleh kiri dan kanan.

Baginda Raja berkata, "malang sungguh Pak Kadok ayam sabungnya menang tapi kampung tergadai.

Ini adalah sebahagian cerita Pak Kadok yang banyak memberikan kita pengajaran dalam kita mengharungi kehidupan yang mendatang.

Oleh Qamariah, Shukrina dan Ain :)

Permainan Tradisional

Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita.Asas penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah kesergaman cara hidup nenek moyang kita.Kegiatan harian,bermusim dan tahunan daripada individu ke individu tidak banyak berbeza.

Apabila sesuatu permainan diadakan di sebuah kampung,penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh yang demikian permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat. Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja. Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini. Di antara permainan itu termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain.

Diambil dari http://malaysiana.pnm.my/03/03pengenalan.htm


Yang benar,Idris 6Challenge.

Cerita jenaka

Pak Belalang

Pada suatu hari, datanglah seorang saudagar ke istana. Oleh sebab saudagar itu seorang yang sangat kaya-raya, Baginda Raja menyambut kedatangannya dengan penuh acara gilang gemilang.
“Patik mendapat khabar tuanku mempunyai seorang ahli nujum yang sangat pintar dam masyhur. Patik ingin menguji kepintaran ahli nujum itu,” kata saudagar tersebut.
Baginda Raja bersetuju dengan cadangan saudagar itu. Syarat yang dikenakan ialah jika saudagar itu menang, beliau akan memperoleh hadiah seratus peti berisi emas. Jika kalah, tiga buah kapal dan segala muatannya yang dimiliki saudagar itu akan diberikan kepada raja.
Baginda Raja lalu memanggil Nujum Pak Belalang dan memberitahu tentang perkara itu. Mahu tidak mahu, terpaksa Pak Belalang bersetuju. “Matilah aku kali ini!” ujar Pak Belalang dalam hatinya. Badannya sudah menggigil.
Pada sebelah malamnya, Pak Belalang memberitahu hal itu kepada anaknya. Belalang turut bersedih hati. “Hendak lari, sudah tidak dapat lagi. Kalau tidak lari, esok akan mati!” kata Pak Belalang sambil menangis. “Inilah akibatnya, kalau hidup suka menipu,” fikir Pak Belalang lagi. Semalam-malaman itu, Pak Belalang tidak dapat tidur kerana asyik menangis tersedu-sedu.
“Nasi sudah menjadi bubur. Esok akan masuk kubur!” Pak Belalang asyik berkata begitu sepanjang malam itu.
Manakala anaknya, Belalang pula tidak mahu berputus asa. Belalang lalu berkayuh perahu dan pergi ke kapal saudagar tersebut. Dia naik ke atas kapal dan mengintip perbualan saudagar itu. Sekali-sekala, dia mendengar saudagar itu ketawa. “Pak Belalang itu tentu tidak akan dapat menjawab teka-teki kita,” kata saudagar itu kepada beberapa orang anak buahnya.
Belalang sangat gembira kerana dapat mengintip rahsia teka-teki saudagar itu. Dia segera berkayuh pulang untuk memberitahu jawapan teka-teki itu kepada bapanya. Ketika tiba di rumah, dia terdengar bapanya masih menangis, “Nasi sudah menjadi bubur. Esok akan masuk kubur!”
Keesokan harinya, Pak Belalang bersegera pergi ke istana. Mukanya berseri-seri. “Beta berharap Ahli Nujum Istana tidak akan memalukan beta,” ujar Baginda Raja. Pak Belalang tersenyum lebar sambil berkata, “Ampun, tuanku! Patik boleh menolong tuanku untuk memenangi teka-teki ini. Tetapi hendaklah dengan suatu syarat.” Baginda Raja ingin mengetahui syarat itu. “Hari ini, kitab nujum patik sudah tinggal satu halaman terakhir. Selepas itu, patik tidak boleh menjadi penujum lagi. Jikalau patik menujum juga, nescaya patik akan menjadi batu.”
Termenunglah Baginda Raja mendengar kata-kata itu. “Baiklah! Beta bersetuju dengan syarat itu,” ujar baginda.
Gong dipalu tiga kali menandakan pertandingan itu akan dimulakan.
“Teka teki pertama,” saudagar memulakan teka-tekinya. “Apakah jawapan bagi perkara ini: Banyak, sedikit, jarang-jarang, kadang-kadang.”
Pak Belalang lalu menjawab, “Banyak ialah orang beristeri satu. Sedikit ialah orang yang beristeri dua. Jarang-jarang ialah orang yang beristeri tiga. Kadang-kadang ialah orang beristeri empat.”
Termenunglah saudagar itu mendengar jawapan tersebut. Pintar sungguh ahli nujum ini, fikirnya dalam hati. “Betullah jawapan itu,” saudagar tersebut mengakui jawapan Pak Belalang.
“Teka-teki kedua,” kata saudagar itu lagi. “Sekarang tengok batang kayu yang terapung di atas permukaan air ini. Yang manakah pangkalnya dan yang manakah pula hujungnya?”
Pak Belalang berpura-pura termenung sejenak sambil terkomat-kamit membaca mantera. Raja dan para pembesar berasa cemas kalau-kalau Pak Belalang tidak dapat menjawab teka-teki yang semakin sukar itu.
“Yang tenggelam itulah pangkalnya kerana lebih berat. Yang terapung itu ialah hujungnya kerana lebih ringan,” Pak Belalang memberikan jawapannya.
“Betul,” ujar saudagar sambil termenung panjang. Dia tidak menyangka Pak Belalang sungguh pintar.

“Teka-teki terakhir,” ujar saudagar itu lagi. “Dalam bekas air yang besar ini ada dua ekor itik yang sama rupanya. Yang manakah itik jantan dan yang manakah pula itik betina?”
Raja, para pembesar, dan sekalian rakyat yang hadir berasa sangat cemas. Mereka sendiri tidak dapat membezakan jantina kedua-dua ekor itik itu. “Kalahlah beta, kalau Ahli Nujum Istana tidak dapat menjawab teka-teki terakhir ini,” Baginda Raja berkata dalam hatinya.
Lambat-lambat Pak Belalang memberikan jawapannya, “ Yang hadapan itu ialah itik betina dan yang di belakang itu pula ialah itik jantan.”
Terkejutlah saudagar itu apabila mendengar Pak Belalang dapat memberikan jawapan yang tepat. Namun, dia masih belum berpuas hati, “Berikan alasannya sebelum jawapan ini dapat disahkan.”
“Alasannya mudah saja. Itik jantan mengejar itik betina. Tidak pernah terjadi, itik betina mengejar itik jantan. Itulah sebabnya itik jantan berada di belakang dan itik betina berada di depan,” Pak Belalang memberikan alasannya.
Pengsanlah saudagar itu apabila mendengar jawapan tersebut. Raja, para pembesar, dan sekalian rakyat yang hadir bersorak-sorai mendengar jawapan tepat daripada Pak Belalang. Baginda Raja berasa sangat sukacita kerana berjaya memenangi pertandingan teka-teki itu.
Tidak lama kemudian, sedarlah saudagar ini daripada pengsannya. Sebaik saja dia berdiri, tiba-tiba seekor serangga terbang hinggap di lengannya. Dia segera menangkap dan menggenggam serangga itu.
“Wahai Ahli Nujum Istana! Jikalau kamu benar-benar pintar menujum, cubalah teka apakah yang ada di dalam genggamanku ini?” saudagar itu masih ingin menguji kepintaran Pak Belalang.
“Wahai saudagar! Kita sudah berjanji, jumlah teka-teki hanyalah tiga soalan sahaja. Semua sudah berjaya kujawab dengan tepat,” ujar Pak Belalang.
Semua yang hadir berdiam diri.

BERSAMBUNG...

Makanan Tradisional Melayu.

Makanan Melayu terkenal kerana rasanya yang pedas dan lauknya yang berempah. Jikalau di perhatikan secara teliti, makanan Melayu banyak dipengaruhi makanan negara-negara jiran seperti India dan China. Pada waktu dahulu, Asia Tenggara didatangi ramai peniaga-peniaga dari negeri India, China dan juga negeri-negeri Arab yang datang dengan tujuan untuk berdagang. Mereka memperkenalkan makanan tradisional mereka dan makanan ini mempengaruhi makanan Melayu sekarang.

Makanan-makanan tradisional yang masih popular: (contoh-contoh)
- Lauk Rendang
Lauk berempah yang sering dihidangkan sewaktu perayaan Hari Raya. Boleh dimakan bersama nasi, roti atau ketupat.

- Satay
Masih lagi digemari ramai. Bahan-bahan utamanya ialah daging ayam, lembu atau babat. Satay dihidangkan bersama kuah kacang yang berempah dan pedas.

- Nasi Lemak
Nasi yang ditanak bersama santan. Dihidangkan bersama sambal telur ataupun ikan bilis.

Makanan-makanan tradisional yang kurang popular… (contoh-contoh)
- Nasi Dagang
Merupakan campuran beras pulut dan beras biasa. Setelah ditanak, ia kemudian
dicampur dengan santan. Hidangan ini sentiasa dimakan bersama lauk kari ikan ataupun ulam.