SELAMAT DATANG...

Bunyi gendang bertalu-talu
Gendang dipukul anak Mak Cumi
Janganlah segan, janganlah malu
Singgahlah masuk ke halaman kami


Jumaat, 23 November 2007

TAHNIAH !!!!!

Semalam kira-kira pukul 11 pagi, sekolah kami menjadi hingar-bingar dengan murid-murid darjah 6 kami yang berkumpul menanti untuk mengambil keputusan PSLE mereka. Walaupun baru seminggu tidak bertemu dengan murid-murid ini, dapat saya rasakan bahawa mereka sudah bersedia untuk mengorak langkah ke sekolah menengah dan menempuh alam remaja.

Saya berasa lapang dada melihat keputusan pada tahun ini. Murid-murid telah berusaha dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Guru-guru juga telah melakukan tugas mereka lebih daripada kemampuan mereka. Saya rasa keputusan kali ini memuaskan.

Terutama sekali murid-murid dari kelas saya... ramai yang dapat A. Tahniah semua. Saya rasa terharu apabila murid-murid datang dan bertemu saya dengan laungan,"Cikgu saya dapat A!!! Terima kasih cikgu!!!" Sesungguhnya mereka tahu kemampuan mereka. Keputusan di tangan merupakan satu kejutan buat mereka.

Murid-muridku kamu semua telah melakukan yang terbaik!!! Usaha kamu akhirnya membuahkan hasil... Ini bukan satu keajaiban. Ini menunjukkan bahawa RAJIN DAN USAHA ITU TANGGA KEJAYAAN. Mesti PERCAYA BAHAWA KAMU BOLEH BERJAYA. Bukankah itu pesanan cikgu setiap hari?

Saya rasa berbangga kerana ada juga murid melayu yang menjadi pelajar lima terbaik di sekolah kami. Tahniah Hafiz Hanafi!!

Syabas, Fatin Nadiah kerana telah meraih A* untuk Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu Lanjutan. Teruskan usaha untuk melestarikan Bahasa Melayu.

Tidak ketinggalan juga kepada murid-murid yang telah lulus dengan baik dalam Bahasa Melayu dan dapat pergi ke sekolah menengah.

Perjalanan kamu tidak berhenti di sini. Ini merupakan satu permulaan bagi banyak lagi cabaran. Semoga kamu semua nanti menjadi ARIF BUDIMAN. Seorang yang berpendidikan yang dapat berkhidmat kepada masyarakat. Amin!!!

Salam Sayang :) Cikgu Hartini

Ahad, 18 November 2007

Andai Ku Tahu

Andai ku tahu
Kapan tiba ajalku
Ku akan memohon Tuhan tolong panjangkan umurku

Andai ku tahu
Kapan tiba masa ku
Ku akan memohon Tuhan jangan Kau ambil nyawaku

Reff:
Aku takut akan semua dosa-dosaku
Aku takut dosa yang terus yang terus membayangiku

Andai ku tahu
MalaikatMu kan menjemputku
Ijikan aku mengucapkan kata taubat padaMu

Aku takut akan semua dosa-dosaku
Aku takut dosa yang terus membayangiku
Ampuni aku dari segala dosa-dosaku
Ampuni aku menangis ku bertaubat padaMu

Aku manusia yang takut neraka
Namun aku juga tak pantas di surga

Andai ku tahu
Kapan tiba ajalku
Ijinkan aku mengucap taubat padaMu

Ku takut padaMu ya Allah…
Ku Rindu padaMu ya Allah…



Apabila saya dengar lagu ini, saya terpanggil untuk membicarakan sesuatu.

Pertama sekali, nada lagu ini yang agak melankolik...mendayu-dayu... tetapi boleh menarik perhatian sesiapa yang mendengarnya... sedap pada telinga...

Namun begitu, apabila direnung dan cuba dikupas senikata lagu ini.... ia membawa banyak makna...bergantung dari mana perspektifnya...dari LENSA yang mana... apa pendirian kita... apa kepercayaan kita...

Timbul di fikiran saya...perlukah kita tahu bila hendak dicabut nyawa baru kita hendak bertaubat?
Perlukah kita renung dosa-dosa yang kita telah lakukan hanya kerana takut hendak masuk neraka?
Mengapa kita sentiasa merendah diri bahawa syurga itu bukan hak milik kita dan kita layak untuk nya sedangkan itu yang telah dijanjikan untuk orang-orang yang beriman?

Ini adalah beberapa persoalan yang muncul di benak ketika mendengar lagu ini.

Selain daripada itu...

Andai ku tahu...
tapi banyak yang aku tahu tidak aku lakukan...
banyak yang aku tahu tapi aku buat bodoh saja...
banyak yang aku tahu sehingga membuat aku tidak mahu ambil tahu...

Tetapi yang seharusnya aku tidak tahu..
Itu yang aku hendak tahu...
Sibuk hendak tahu...

Memang pelik tapi benar...

Renungan Cikgu Hartini :)

Isnin, 12 November 2007

WAYANG KULIT





Sebagai aktiviti selepas peperiksaan PSLE, murid-murid darjah 6 telah melakukan satu aktiviti yang sangat menarik. Mereka telah menulis sebuah cerita yang bertemakan nilai-nilai moral. Selepas itu, mereka menyampaikan cerita-cerita ini dalam bentuk persembahan wayang kulit. Seronok saya menyaksikan persembahan mereka. Syabas!

:)Cikgu Hartini

Selasa, 30 Oktober 2007

cyBerita

Pernahkah murid-murid melungsuri lelaman cyBerita? Hmm... untuk mereka yang tidak melanggani Berita Harian/Berita Minggu ataupun jarang membaca surat khabar Melayu, saya mencadangkan agar kamu semua berjinak-jinak melungsuri lelaman cyBerita. Lelaman ini menyajikan berita-berita di dalam dan luar negara. Saya setuju dengan kata-kata cikgu Sanisah bahawa kita sentiasa belajar sesuatu yang baru setiap hari. Kita dapat mempelajari sesuatu yang baru dan juga meluaskan pengetahuan dengan melungsuri lelaman itu. Janganlah kita menjadi seperti katak di bawah tempurung yang tidak tahu tentang perkara-perkara di sekeliling kita. Setiap kali saya melungsuri internet, saya akan sentiasa ke lelaman tersebut untuk membaca berita-berita yang menjadi sajian di lelaman itu. Jika kamu terlepas membaca berita hangat, kamu boleh mencari berita tersebut di dalam arkib yang menyimpan berita selama seminggu yang lalu. Jadikanlah lelaman itu salah satu lelaman kegemaran kamu!!!

Cikgu Fahizah

Isnin, 29 Oktober 2007

Izin Ku Pergi

Kali pertama saya mendengar lagu ini ialah melalui LensaAdmiralty. Lagu ini telah menyentuh hati saya. Lebih-lebih lagi apabila saya menonton klip videonya. Meleleh juga air mata saya.

Memandangkan murid-murid P1 telah pun selesai menduduki peperiksaan, saya mengambil kesempatan untuk menayangkan klip video ini kepada mereka. Kami berbincang tentang klip video itu. Saya mengajukan soalan berikut: Mengapa perempuan itu menangis? Satu soalan mudah yang berjaya membuat murid-murid saya berfikir.

Antara respons yang diberi ialah
Bapanya telah meninggal dunia. 'Boyfriend'nya telah meninggal dunia.

Jawapan yang terakhir tentunya telah membuat saya tersenyum. Saya menyuruh murid-murid saya yang lain memberi terjemahan untuk perkataan 'boyfriend'. Mereka memberikan kawan rapat dan rakan baik.

Soalan demi soalan diaju dan murid-murid P1 saya dapat menjawab dengan kreatif dan kritis. Namun demikian, soalan terakhir agak membuntukan mereka.

Mengapakah perempuan itu menghanyutkan kotak berisi barangan?

Kalau murid-murid tingkatan lain tahu jawapannya, beritahu cikgu ya.

Oh ya...apa yang ingin cikgu sampaikan di sini ialah murid-murid haruslah sedar bahawa pembelajaran tidak hanya berlaku melalui buku atau di dalam bilik darjah saja. Kita sentiasa belajar sesuatu yang baru setiap hari. Misalnya, apabila kita berada di dalam bas, kita boleh meneliti keadaan di dalam bas. Mungkin bas itu sesak dengan penumpang sehinggakan tidak ada ruang untuk bergerak. Pemerhatian kita ini dapat membantu kita semasa kita menulis karangan atau dalam ujian lisan.

Semasa kita menonton video, rancangan kartun sekali pun atau wayang , jika kita dapat mengandaikan keputusan yang diambil oleh watak atau menyoal suatu tindakan yang diambil, kita sedang belajar sebenarnya. Apa yang kita belajar? Kita belajar berfikir secara kritis.

Jangan melepaskan peluang keemasan ini. Belajarlah ya....

Salam sayang,

Cikgu Sanisah :)

Rabu, 24 Oktober 2007

Selamat...Selamat...Selamat...

Nampaknya semua sedang sibuk...guru-guru sibuk menyiapkan murid-murid untuk peperiksaan. Mula-mula murid darjah 6..kemudian darjah 1 dan 2..selepas itu darjah 4 dan seterusnya darjah 3, 5 dan 6. Murid-murid juga sibuk mengulang kaji pelajaran mereka. Namun begitu, yang pasti kita sentiasa buat yang terbaik.

:) Cikgu Hartini

Rabu, 10 Oktober 2007

Sebutan Baku...

Selalunya kita akan menyebut sesuatu perkataan itu menurut ejaannya. Namun, kebiasaan semasa bertutur telah menyebabkan kita menyebut perkataan-perkataan itu seperti dalam pertuturan seharian...tidak menggunakan sebutan baku. Contohnya: ada...sering disebut sebagai ade. Saya...saye, mereka...mereke dan sebagainya. Tetapi, bola...masih disebut bola dan bukannya bole kerana dalam pertuturan seharian kita menyebut bola.. bola dan bukannya bole.

Selain daripada itu, bunyi u sering disebut sebagai bunyi o. Contohnya, duduk...disebut sebagai dudok. Ikut...ikot dan sebagainya. Bunyi i pula sering disebut sebagai bunyi e. Contohnya, bilik...menjadi bilek.

Teringat saya, seorang murid darjah 6 bertanya kepada saya selepas kertas BM (PSLE), "Cikgu bagaimana kita eja celik?" Saya pun menjawab, "C-E-L-I-K." Murid itu kata, "Alamak, saya tersalah eja. Saya eja C-E-L-E-K."

Kita juga sering tersalah sebut perkataan-perkataan yang dipinjam daripada bahasa Inggeris seperti teknologi, digital, universiti, unik, muzium dan sebagainya.

Bunyi g sering disebut sebagai j. Bunyi u sebagai yu. Sering kali saya mengingatkan murid-murid bahawa kita menyebut gigi sebagai gigi dan bukannya jiji. Ular sebagai ular dan bukannya yular.

Namun begitu, semasa saya menjadi pemeriksa untuk ujian lisan semalam, masih ramai murid yang menyebut muzium sebagai muziyem seperti dalam bahasa Inggeris. Terlintas di dalam fikiran saya, kita tidak menyebut cium sebagai ciyem!!! Tergelak saya seketika.

:) Cikgu Hartini

Isnin, 8 Oktober 2007

Selamat Hari Raya Aidilfitri



Kepada Semua Murid yang Disayangi,

Kami ingin mengucapakan Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin. Semoga kehidupan kita ini diberkati.

Yang Ikhlas,
Pendukung Arif Budiman

Isnin, 1 Oktober 2007

Lantaklah... Si pelantak melantak selepas lantak... Hai! Luluh lantaklah...

Saya memang suka membaca Berita Minggu. Mengapa Berita Minggu agak istimewa kerana selain daripada mengetahui berita-berita luar dan dalam negeri, saya dapat mempelajari sesuatu yang baru daripada segmen-segmen dalam Berita Minggu ini.

Pada hari Ahad yang lalu, saya membaca kolum yang ditulis oleh Dr Muhd Ariff Ahmad, Pendita kita. Kali ini beliau mengetengahkan tentang ungkapan luluh lantak. Beliau menerangkan bahawa luluh lantak itu maknanya sama seperti hancur luluh, rosak binasa, punah ranah atau yang disebut sesetengah orang dengan slanga hancai bocai.

Beliau menerangkan bahawa di kampungnya di Bote, orang gunakan pelantak sebagai ganti nama suami.

Sebenarnya, lantak itu bermakna pantak, sumbat atau memukul paku masuk ke tiang atau gelegar dan sebagainya.

Kekata lantak itu juga bermakna buatlah sesuatu hatimu, yang diucapkan dengan rasa marah atau memberi hati. Sebagai disfemia orang gunakan pula kekata melantak untuk menyatakan makan dengan banyak, lahap, gelojoh dan tidak sopan.

:)Cikgu Hartini

Sabtu, 29 September 2007

Berdentang berdenting berdentam berdentum....Bunyi apa itu?





Apa itu ONOMATOPIA?

Kata Onomatopia dibentuk daripada bermacam-macam bunyi alamiah. Contohnya,ketik daripada tik. Embek dan menguak daripada bunyi kambing dan kerbau. Dering daripada bunyi jam loceng atau telefon. Berdengkur daripada bunyi nafas yang kuat ketika tidur.

Murid-murid, fikirkan kata-kata lain yang kamu fikir merupakan kata-kata onomatopia.
Kirimkan kata-kata itu melalui ruang komen di lelaman ini. Jangan lupa tulis nama dan kelas kamu.

Cikgu akan bentangkan kata-kata onomatopia yang cikgu kumpulkan itu nanti. Dengan itu, cikgu harapkan sumbangan murid-murid dalam pengumpulan kata-kata ini. Cikgu nantikan sumbangan kamu itu. Terima kasih.

;)Cikgu Hartini

Jumaat, 28 September 2007

Anugerah Bintang Cilik - Bahagian 3


Peraduan Tok Selampit bagi murid-murid Darjah 2.

~ Cikgu Noor ~

Anugerah Bintang Cilik - Bahagian 2



Inilah gaya beberapa orang peserta Peraduan Ulasan Buku bagi peringkat Darjah 5.

~ Cikgu Noor ~

Semoga Berjaya Menggarap Bintang....

Anugerah Bintang Cilik 2007 - Bahagian 1



Beberapa keping gambar yang telah dipetik semasa Peraduan Buluh Perindu bagi murid-murid darjah 1 dan juga Peraduan Penglipur Lara bagi murid-murid darjah 3.
~ Cikgu Noor ~


Khamis, 27 September 2007

Puisi

Salam sejahtera semua!

Kalau Cikgu Hartini berkongsi puisi Khadijah Hashim kegemarannya, saya pula ingin berkongsi puisi yang ditulis oleh murid-murid P1 saya. Apa yang mengagumkan saya ialah mereka dapat menulis puisi ini walaupun mereka boleh dikatakan masih setahun jagung. Murid-murid saya perlu menggunakan 2 kata ganda dalam puisi mereka. Tentunya, mereka telah pun didedahkan dahulu kepada puisi. Mereka telah menyanyikan dan melagukan puisi yang telah saya cipta. Puisi yang dicipta berdasarkan puisi kanak-kanak Katak Si Katak Lompat.

Selamat membaca...

Lompat si katak lompat
lompatlah tinggi-tinggi
Ingatlah katak ingat
baca buku hari-hari

Lompat si katak lompat
lompat di gerai-gerai
Katak harus ingat
belajar pandai-pandai


;) Cikgu Sanisah

Khadijah Hashim ...


Pada Sabtu, 8 September 2007 yang lalu, saya dan Cikgu Sanisah telah menghadiri forum yang dianjurkan oleh Kelab Obor, Berita Harian. Penceramah undangan pada hari itu ialah Puan Khadijah Hashim. Nama ini tentu tidak asing lagi bagi murid-murid yang gemar dan pernah membaca novel-novel beliau. Melalui program Apresiasi Sastera yang dijalankan penggal yang lalu, murid-murid darjah 5 telah didedahkan dengan novel-novel seperti Pelangi Pagi dan Mira Edora.
Di antara puisi beliau yang suka cikgu kongsi di sini ialah puisi TERLEBIH...
Terlebih
Terlebih garam gulai binasa
terlebih manis penyakit menanti

terlebih lada pedas menyengat

terlebih santan lemak berlapis

terlebih cuka jeruk menjadi

terlebih asam pekasam tak busuk

terlebih api nasi pun hangit

terlebih air bubur namanya

Terlebih senyum orang tertanya-tanya

terlebih ketawa takut menangis

terlebih cakap punca berbohong

terlebih janji sukar ditetapi

terlebih puji dusta akhirnya

terlebih sayang buruk ke tepi

terlebih belanja hutang bertapuk

terlebih harta baik bersedekah

terlebih simpan kedekut berpanjangan

Biar terlebih jasa dan bakti

serendang pohon dapat berteduh

sehijau padang luas berlari

sejernih sungai tempat bermandi

sedingin bayu berhembus selalu

seharum mawar kembang pagi

seindah alam ciptaain Ilahi

dan kaki kejap terpijak di sini

Khadijah Hashim
Dewan Sastera, Disember 2001

Buat renungan semua :) Cikgu Hartini


Rabu, 26 September 2007

Selamat Datang Ke Lensa...

Cikgu ingin ucapkan selamat datang ke Lensa. Lensa ini merupakan blog Jabatan Bahasa Melayu Sekolah Rendah Admiralty. Blog ini merupakan wadah bagi guru-guru dan murid-murid berinteraksi dan meluaskan pengetahuan terutama sekali dalam Bahasa Melayu. Lensa juga merupakan catatan guru-guru mengenai aktiviti-aktiviti yang telah mereka jalankan di kelas dan di sekolah dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka kepada para pembaca. Murid-murid juga boleh memberikan komen-komen tentang catatan guru-guru. Namun begitu, perlu cikgu ingatkan bahawa murid-murid perlulah berbahasa dengan sopan dan menggunakan Bahasa Melayu yang betul. Dengan itu, Majulah Bahasa, Majulah Bangsa dan sama-samalah kita dapat melestarikan Bahasa Melayu serta memenuhi visi Arif Budiman. Sekian. :)Cikgu Hartini