SELAMAT DATANG...

Bunyi gendang bertalu-talu
Gendang dipukul anak Mak Cumi
Janganlah segan, janganlah malu
Singgahlah masuk ke halaman kami


Jumaat, 30 Julai 2010

Hasil Karangan Saya! :)

Langkah kakiku terpaku di pintu. Mataku merenung tajam, Tidak mungkin! Tidak mungkin kakak kembali lagi! Kakak tersenyum lebar. Titisan air mataku mengalir di pipi. Aku memeluk kakak dengan erat. Sudah tiga tahun aku tidak dapat berjumpa dengannya. Kakak mengusap rambutku. Secara tiba-tiba, terdengar ketukan di pintu. Aku pun terjaga dari tidurku.

Rupa-rupanya, ibu yang mengetuk pintu. Tetapi, kelibat kakak sudah tiada.
Kakak lesap begitu sahaja. Aku sedih dan pilu. Tetapi, rasanya seperti kakak sentiasa berada di sisiku.

"Kenapa adik terpekik tadi? Mengigau, ya? Tadi, sebelum tidur cuci kaki ke tidak?
Ibu terperanjat apabila adik pekik. Tengoklah, sekarang sudah berpeluh. Hish! Pergi cuci muka dan selepas itu tidur, ya?"kata ibuku yang kelihatan bimbang akan keadaanku.

Aku mengangguk, mengiakan sahaja apa yang ibuku katakan. Aku turuti
perintah ibu. Keesokan paginya, aku memberitahu ibu tentang mimpiku semalam. Ibu kehilangan kata-kata. Aku mengerti perasaan ibuku. Aku tahu ibu sedih. Lantas, aku menukar topik dan mengatakan bahawa aku ingin masuk bilik untuk belajar. Di dalam bilikku, aku duduk termenung di katilku. Peristiwa silam masih segar di kotak fikiranku.

Dahulu, sewaktu kakak masih ada, dialah yang memanjakanku dengan
memberikan apa sahaja yang aku minta. Jika aku tidak dapat apa yang aku mahu, aku akan menunjukkan perasaan marahku dan tidak akan menghiraukan kakak. Pernah sekali, ayah memarahiku kerana terlalu dimanjakan. Aku menangis teresak-esak. Baru sahaja ayah ingin melepaskan satu sepakan di pipiku, kakak berlari menuju ke hadapanku. Akhirnya, kakak yang ditampar. Rasa bersalah menyelubungi diriku. Aku bergegas ke bilikku lalu mengunci pintu. Selama tiga hari berturut-turut aku tidak keluar dari bilikku. Aku hanya membenarkan kakak masuk. Dia memujukki dan memasakkan aku sepinggan bubur. Aku terharu sekali.

Aku pun meminta maaf. Kakak seorang yang baik hati dan selalu memaafkan
orang lain dengan mudah. Malangnya, pada suatu hari, aku mengulangi kesilapanku dan kali ini, aku kehilangan satu-satunya orang yang amat kusayangi. Aku memarahi kakak kerana lambat menjemputku dari sekolah. Alasannya adalah kerana hujan lebat. Sukar baginya untuk keluar rumah dan berjalan ke sekolahku. Aku tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan. Setibanya dia di sekolah, aku merampas salah satu payung yang dibawanya. Lalu, aku pun keluar ke jalan raya.

Penglihatanku tidak jelas. Hujan turun dengan lebatnya. Suasana di situ kabus.
Tidak lama kemudian, hujan pun reda. Kakak terlari-lari mengejarku. Dia tahu aku marah dengannya. Dia memekik, memanggil namaku berulang kali. Aku cuma berbuat bodoh sahaja. Sampai sahaj di lampu trafik, aku hanya melintas tanpa melihat kiri atau kanan mahupun lampu isyarat.

"Adik, jaga!"teriak kakakku lalu menolakku ke tepi jalan raya.


Aku tersentak. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Sebentar kemudian, aku
menoleh ke arah kakak. Alangkah terperanjatnya aku! Kakak dilanggar kereta. Aku menjarit meminta tolong Pemandu itu tidak bertanggungjawab dan terus melarikan diri. Aku begitu marah sekali. Aku melalak sekuat-kuatnya.

Aku menyesal sekali. Kakak masih mampu tersenyum. Kepala kakak berlumuran darah.

"Adik, kalau kakak sudah tiada, adik jangan manja-manja lagi, ya? Adik harus berdikari. Adik sudah besar. Tidak boleh harapkan kakak lagi. Kakak sayang adik! Jaga ibu dan ayah baik-baik, ya? Jangan lupa kakak. Kakak akan sentiasa bersama adik dan menjaga adik. Kakak gembira dapat adik yang baik dan tidak nakal. Janji ya, jangan nakal lagi kalau kakak tiada?"kata-kata kakak terhenti di situ.

Aku tidak akan lupa apa yang telah kakak lakukan untukku selama ini. Semnjak itu, aku asyik teringatkan kakak. Dialah penyelamatku. Dia amat penyanyang. Aku sayang kakak. Setiap hari, aku berdoa untuk kakak agar jasa yang telah dia berikan di dunia akan terbalas di akhirat nanti. Hanya satu perkara yang aku tidak dapat katakan kepadanya sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu,"Maafkan adik, kak...". Itu yang membuatku menyesal selama tiga tahun ini.

"Adik, jom kita makan tengah hari,"terdengar ibuku memanggil dari luar. Aku kembali ke alam nyata. Peristiwa itu telah membuatku sentiasa berpesan kepada kawan-kawanku supaya melakukan sesuatu sebelum nasi menjadi bubur.

Itulah hasil karya saya sendiri. Saya harap rakan-rakan semua terhibur setelah membaca karangan saya! Nanti, jika rakan-rakan BML saya ada masa, mereka juga akan turut berkongsi hasil karya mereka sendiri. Jadi jangan lupa, ya untuk meninggalkan komen?

Salam sayang dari saya,
Nur Qamariah 6Courage :P

Khamis, 29 Julai 2010

Cara untuk menenangkan fikiran sebelum peperiksaan...

Ada yang kata mereka terlalu stres kerana PSLE dan meminta cikgu tips-tips untuk menenangkan diri setelah PSLE. Mungkin post itu tidak sesuai untuk dipamerkan di blog sekarang kerana PSLE belum mula atau akhir. Jadi, saya akan beri tips-tips untuk sebelum prelim untuk menenangkan fikiran dan ulangkaji dalam cara yang menarik dan efektif...

- Dengar muzik yang rentaknya agak menenangkan dan klasikal.
- Anda boleh mengulangkaji daripada lelaman yang ada aktiviti dalam segi pelajaran.
- Jangan ulangkaji terlalu banyak sehingga larut malam, sebaliknya mungkin anda boleh
ulangkaji pada waktu siang, dan menoton televisyen atau bermain di Facebook pada waktu
malam.

- Mungkin anda boleh belajar bersama kawan-kawan supaya ia tidak sunyi atau bosan bagi
anda.

- Anda juga boleh melakukan hobi dengan lebih kerap untuk menghilangkan stres.
- Untuk menenangkan fikiran dan elakkan terlalu banyak stres, cuba memperbaiki konfiden dalam diri.
-Anda boleh belajar dan ulangkaji di tempat yang selesa dan tidak banyak gangguan. (perpustakaan)

Saya harap tips-tips saya dapat membantu kamu.
~Shukrina~

Selasa, 27 Julai 2010

Persiapan Lisan:)

Kawan-kawan sudah membuat persiapan untuk lisan? Harap sudah bersedia ya. Saya dan murid-murid bahasa melayu lanjutan yang lain ingin mengucapkan yang terbaik untuk semua. Jangan malukan cikgu masin-masing ya. Lakukan yang terbaik. Ingat segala teknik yang telah diajar cikgu. Jangan panik.Dan perkara yang paling penting, kamu harus ada konfiden. Jika kawan-kawan yang lain boleh berjaya dengan cemerlang, mengapa tidak kamu. Selamat menduduki peperiksaan lisan!;)

-Shukrina

Selasa, 13 Julai 2010

Kuiz Bulan Julai

Ini adalah kuiz bulan Julai!

Rakan harus membina 10 perkataan baru daripada perkataan yang sebelumnya dengan mengubah satu huruf sahaja.

Contoh:
1) garam
2) geram
3) seram
4) siram
5) silam
6) tilam
7) tikam
8) tikar
9) tukar
10) sukar

3 pemenang pertama akan mendapat hadiah daripada saya dan Syakirin. Perkataan pertama adalah: BARANG
Apa lagi tunggu-tunggu? Mulakan sekarang juga! Hantar kepada saya 5CH, Syakirin 5CH, Nur Qamariah 6CO ataupun Shukrina 6ED!

~Firdaus 5CH

Khamis, 8 Julai 2010

Karangan Minggu Ini -

Nikmatilah cerita hasil pena rakan pelajar, Nur Qamariah dari kelas 6 Courage.


Hujan turun dengan lebatnya. Kelibat ayah masih belum kelihatan. Jam di tangan menunjukkan pukul sembilan malam. Ayahku telah berjanji petang tadi ingin membawa pulang ayam goreng dari sebuah kedai yang amat terkenal. Oleh sebab bosan menunggu, aku pergi ke bilikku lalu membaca novel. Setelah selesai membaca, aku menelefon Shukrina, sahabat karibku. Kendengaran suaranya yang begitu riang dan aktif berceloteh di telefon. Aku melayan sahaja apa yang dia katakan. Lantas, aku memberitahu Shukrina bahawa ayahku belum pulang. Aku risau dan tidak sedap hati memikirkan tentang keselamtan ayahku.

Shukrina pun mencelah, "Eh, Qamariah! Betullah kata engkau. Hujan pula sangat lebat membasahi muka bumi. Dulu, ayahku meninggal dunia sewaktu cuaca sebegini juga. Aku bimbang, bapa kau juga akan ..." suara Shukrina semakin perlahan dan terus tidak kedengaran. Aku faham maksud kata-katanya.

Pada saat aku ingin mengatakan sesuatu, bekalan elektrik tiba-tiba terputus. Lampu yang pada mulanya bernyala telah mati. Ibu bergegas keluar dari bilik tidurnya ke ruang tamu. Dia mendapati aku sedang meletakkan gagang telefon. Pada masa itu juga, guruh berdentam-dentum. Aku terjerit kerana tersentak. Ibu memasang lilin di halaman rumah. Aku memberitahu ibu apa yang dikatakan Shukrina sebentar tadi. Ibu kehilangan kata-kata. Ibu hanya menundukkan kepalanya.

Tiba-tiba telefon bimbit ibu berdering. Aku terus berlari mendapatkan telefon bimbit ibu.

"Hello! Siapa di sana? Boleh saya tolong?" tanyaku dengan suara yang gementar kerana tidak tahu siapa yang berada di hujung talian.

Rupa-rupanya, seorang inspektor polis telah cuba menelefon rumahku tetapi tidak berjaya. Detik itu, aku berasa hiba. Di kotak fikiranku, pelbagai perkara yang aku bayangkan. Aku tidak mahu kehilangan ayahku seperti mana Shukrina kehilangan ayahnya. Aku menangis sebelum inspektor polis itu berkata apa-apa. Ibu pula berdoa kepada Allah agar ayah selamat.

Sebaik sahaja telingaku mendapat berita daripada inspektor polis itu, aku melepaskan genggamanku dari telefon bimbit ibu. Aku terperanjat mendengar kata-katanya. Ini tidak mungkin berlaku. Mustahil! Pihak polis telah mendapati bahawa ayahku terlibat dalam kes penyeludupan dadah. Setelah disoal siasat, ayahku didapati bersalah. Aku tidak dapat menerima kenyataan bahawa itu hakikat yang sebenarnya.

"Jadi, selama ini ayah telah berpura-pura bekerja! Segala makanan yang aku makan selama ini daripada duit haram! Aku benci! Aku benci!" Aku tidak dapat menahan emosiku. Aku menangis teresak-esak. Ibu cuba sedaya upaya untuk memujukku. Katanya, ini bukan salah ayah. Ayah hanya ingin mencari duit. Aku tahu tetapi jika ingin mencari duit sekali pun, ada banyak lagi pekerjaan yang baik dan halal.

Sepanjang ayah meringkuk di dalam penjara selama tiga tahun dan dihukum lima sebatan rotan, aku langsung tidak datang menjenguknya. Aku tetap berkeras hati walaupun ibu memujukku agar memaafkan ayah. Shukrina juga berkata yang aku tidak berhati perut.

"Engkau tidak tahu apa yang aku lalui! Siapa yang tidak berhati perut? Ayahku! Jika dia tidak terlibat dalam kes ini, kehidupanku dan ibuku tidak akan susah sebegini. Disebabkan ayahku, aku dan ibu terpaksa mengikat perut!" kataku kepada Shukrina.

Aku berasa malu. Jiran-jiran selalu bercerita tentang keluargaku. Mereka tidak tahu bahawa aku tahu yang mereka selalu mengumpat tentang keluargaku. Disebabkan ayah, aku dihina di sekolah. Disebabkan ayah, kehidupanku tidak tenteram. Aku kecewa, terlalu kecewa. Ibuku juga begitu. Sekarang, setiap detik yang aku lalui penuh dengan kekecewaan.

Ayah meninggalkan aku dan ibu sebulan setelah dia bebas dari penjara. Dia tidak dapat diselamatkan setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Ayah meninggalkanku dengan penuh penderitaan dan kekecewaan. Aku tidak akan lupa apa yang aku lalui dan hatiku akan tetap mengatakan, "Ayah punca segala penderitaanku..."





Bulan Bahasa 2010

Apa khabar para pelajar sekalian? Diharapkan sentiasa di dalam keadaan sihat-walafiat dan ceria selalu.

Di sini kami ingin mengumumkan tentang aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan di sekolah sempena Bulan Bahasa tahun ini. Beberapa aktiviti menarik telah dilakarkan untuk para pelajar mengambil bahagian.

Primari 1 - Pertandingan Buluh Perindu
Primari 2 - Rentak Pantun
Primari 3 - Penglipur Lara
Primari 4 - Penglipur Lara
Primari 5 - Deklamasi Sajak

Oleh sebab pelajar Primari 6 sedang sibuk membuat persiapan untuk PSLE, maka kami tidak menganjurkan apa-apa aktiviti untuk anda semua. InsyaAllah selepas PSLE nanti, giliran pelajar Primari 6 pula menyertai aktiviti-aktiviti bahasa yang menarik pula, ya!

Kepada para pelajar yang mahu mengambil bahagian, sila jumpa guru bahasa Melayu masing-masing. Jangan malu-malu atau segan-segan untuk ke hadapan. Inilah masanya anda menunjukkan bakat yang terpendam!

Bagi mereka yang tidak mengambil bahagian, berilah sokongan kepada rakan-rakan yang menyertai pertandingan.

Salam sayang,
Cikgu Noor Ashikin