SELAMAT DATANG...

Bunyi gendang bertalu-talu
Gendang dipukul anak Mak Cumi
Janganlah segan, janganlah malu
Singgahlah masuk ke halaman kami


Isnin, 29 Oktober 2007

Izin Ku Pergi

Kali pertama saya mendengar lagu ini ialah melalui LensaAdmiralty. Lagu ini telah menyentuh hati saya. Lebih-lebih lagi apabila saya menonton klip videonya. Meleleh juga air mata saya.

Memandangkan murid-murid P1 telah pun selesai menduduki peperiksaan, saya mengambil kesempatan untuk menayangkan klip video ini kepada mereka. Kami berbincang tentang klip video itu. Saya mengajukan soalan berikut: Mengapa perempuan itu menangis? Satu soalan mudah yang berjaya membuat murid-murid saya berfikir.

Antara respons yang diberi ialah
Bapanya telah meninggal dunia. 'Boyfriend'nya telah meninggal dunia.

Jawapan yang terakhir tentunya telah membuat saya tersenyum. Saya menyuruh murid-murid saya yang lain memberi terjemahan untuk perkataan 'boyfriend'. Mereka memberikan kawan rapat dan rakan baik.

Soalan demi soalan diaju dan murid-murid P1 saya dapat menjawab dengan kreatif dan kritis. Namun demikian, soalan terakhir agak membuntukan mereka.

Mengapakah perempuan itu menghanyutkan kotak berisi barangan?

Kalau murid-murid tingkatan lain tahu jawapannya, beritahu cikgu ya.

Oh ya...apa yang ingin cikgu sampaikan di sini ialah murid-murid haruslah sedar bahawa pembelajaran tidak hanya berlaku melalui buku atau di dalam bilik darjah saja. Kita sentiasa belajar sesuatu yang baru setiap hari. Misalnya, apabila kita berada di dalam bas, kita boleh meneliti keadaan di dalam bas. Mungkin bas itu sesak dengan penumpang sehinggakan tidak ada ruang untuk bergerak. Pemerhatian kita ini dapat membantu kita semasa kita menulis karangan atau dalam ujian lisan.

Semasa kita menonton video, rancangan kartun sekali pun atau wayang , jika kita dapat mengandaikan keputusan yang diambil oleh watak atau menyoal suatu tindakan yang diambil, kita sedang belajar sebenarnya. Apa yang kita belajar? Kita belajar berfikir secara kritis.

Jangan melepaskan peluang keemasan ini. Belajarlah ya....

Salam sayang,

Cikgu Sanisah :)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Untuk pelajar dan guru menghayati lagu ini dengan lebih mendalam lagi, saya sertakan lirik lagunya di sini:

Sinaran mata cerita segalanya
Duka lara terpendam
Memori semalam

Tinggal segala cinta
Tiada kembalinya abadi kasih kita
Kau bawa bersama

Mimpi indah mekar
Saat cinta bersemi
Sedetik asmara syurga selamanya

Pergilah rinduku hilangkan dirimu
Tak sanggup menanggung derita di kalbu
Pergilah sayangku
Bermula semula semangat cintaku
Membara kerana dia
Tiada niatku

Tersemat jiwa setia bersamanya
Cinta murni berdua
Beribu tahunnya
Mimpi indah mekar
Saat cinta bersemi
Sedetik asmara syurga selamanya

Pergilah rinduku hilangkan dirimu
Tak sanggup menanggung derita di kalbuku
Pergilah sayangku
Bermula semula semangat cintaku
Membara kerana dia tiada niatku…

Pergilah sayangku
Bermula semula semangat cintaku membara
kerana dia tiada niatku…
maafkan daku duhai kasih izinkan ku pergi…

~ Cikgu Noor ~