SELAMAT DATANG...

Bunyi gendang bertalu-talu
Gendang dipukul anak Mak Cumi
Janganlah segan, janganlah malu
Singgahlah masuk ke halaman kami


Khamis, 8 Julai 2010

Karangan Minggu Ini -

Nikmatilah cerita hasil pena rakan pelajar, Nur Qamariah dari kelas 6 Courage.


Hujan turun dengan lebatnya. Kelibat ayah masih belum kelihatan. Jam di tangan menunjukkan pukul sembilan malam. Ayahku telah berjanji petang tadi ingin membawa pulang ayam goreng dari sebuah kedai yang amat terkenal. Oleh sebab bosan menunggu, aku pergi ke bilikku lalu membaca novel. Setelah selesai membaca, aku menelefon Shukrina, sahabat karibku. Kendengaran suaranya yang begitu riang dan aktif berceloteh di telefon. Aku melayan sahaja apa yang dia katakan. Lantas, aku memberitahu Shukrina bahawa ayahku belum pulang. Aku risau dan tidak sedap hati memikirkan tentang keselamtan ayahku.

Shukrina pun mencelah, "Eh, Qamariah! Betullah kata engkau. Hujan pula sangat lebat membasahi muka bumi. Dulu, ayahku meninggal dunia sewaktu cuaca sebegini juga. Aku bimbang, bapa kau juga akan ..." suara Shukrina semakin perlahan dan terus tidak kedengaran. Aku faham maksud kata-katanya.

Pada saat aku ingin mengatakan sesuatu, bekalan elektrik tiba-tiba terputus. Lampu yang pada mulanya bernyala telah mati. Ibu bergegas keluar dari bilik tidurnya ke ruang tamu. Dia mendapati aku sedang meletakkan gagang telefon. Pada masa itu juga, guruh berdentam-dentum. Aku terjerit kerana tersentak. Ibu memasang lilin di halaman rumah. Aku memberitahu ibu apa yang dikatakan Shukrina sebentar tadi. Ibu kehilangan kata-kata. Ibu hanya menundukkan kepalanya.

Tiba-tiba telefon bimbit ibu berdering. Aku terus berlari mendapatkan telefon bimbit ibu.

"Hello! Siapa di sana? Boleh saya tolong?" tanyaku dengan suara yang gementar kerana tidak tahu siapa yang berada di hujung talian.

Rupa-rupanya, seorang inspektor polis telah cuba menelefon rumahku tetapi tidak berjaya. Detik itu, aku berasa hiba. Di kotak fikiranku, pelbagai perkara yang aku bayangkan. Aku tidak mahu kehilangan ayahku seperti mana Shukrina kehilangan ayahnya. Aku menangis sebelum inspektor polis itu berkata apa-apa. Ibu pula berdoa kepada Allah agar ayah selamat.

Sebaik sahaja telingaku mendapat berita daripada inspektor polis itu, aku melepaskan genggamanku dari telefon bimbit ibu. Aku terperanjat mendengar kata-katanya. Ini tidak mungkin berlaku. Mustahil! Pihak polis telah mendapati bahawa ayahku terlibat dalam kes penyeludupan dadah. Setelah disoal siasat, ayahku didapati bersalah. Aku tidak dapat menerima kenyataan bahawa itu hakikat yang sebenarnya.

"Jadi, selama ini ayah telah berpura-pura bekerja! Segala makanan yang aku makan selama ini daripada duit haram! Aku benci! Aku benci!" Aku tidak dapat menahan emosiku. Aku menangis teresak-esak. Ibu cuba sedaya upaya untuk memujukku. Katanya, ini bukan salah ayah. Ayah hanya ingin mencari duit. Aku tahu tetapi jika ingin mencari duit sekali pun, ada banyak lagi pekerjaan yang baik dan halal.

Sepanjang ayah meringkuk di dalam penjara selama tiga tahun dan dihukum lima sebatan rotan, aku langsung tidak datang menjenguknya. Aku tetap berkeras hati walaupun ibu memujukku agar memaafkan ayah. Shukrina juga berkata yang aku tidak berhati perut.

"Engkau tidak tahu apa yang aku lalui! Siapa yang tidak berhati perut? Ayahku! Jika dia tidak terlibat dalam kes ini, kehidupanku dan ibuku tidak akan susah sebegini. Disebabkan ayahku, aku dan ibu terpaksa mengikat perut!" kataku kepada Shukrina.

Aku berasa malu. Jiran-jiran selalu bercerita tentang keluargaku. Mereka tidak tahu bahawa aku tahu yang mereka selalu mengumpat tentang keluargaku. Disebabkan ayah, aku dihina di sekolah. Disebabkan ayah, kehidupanku tidak tenteram. Aku kecewa, terlalu kecewa. Ibuku juga begitu. Sekarang, setiap detik yang aku lalui penuh dengan kekecewaan.

Ayah meninggalkan aku dan ibu sebulan setelah dia bebas dari penjara. Dia tidak dapat diselamatkan setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Ayah meninggalkanku dengan penuh penderitaan dan kekecewaan. Aku tidak akan lupa apa yang aku lalui dan hatiku akan tetap mengatakan, "Ayah punca segala penderitaanku..."





2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Karangan awak sungguh indah dan sangat menarik..
Tetapi kenapa kamu masih belm maafkan bapa awak?Pada hal dia buat ni semua untuk awak!

PENDUKUNG ARIF BUDIMAN berkata...

Siapa awak? Oh, ini kan karangan sahaja. Ia hanya cerita rekaan? hahaha...

-Qamariah