SELAMAT DATANG...

Bunyi gendang bertalu-talu
Gendang dipukul anak Mak Cumi
Janganlah segan, janganlah malu
Singgahlah masuk ke halaman kami


Jumaat, 30 Julai 2010

Hasil Karangan Saya! :)

Langkah kakiku terpaku di pintu. Mataku merenung tajam, Tidak mungkin! Tidak mungkin kakak kembali lagi! Kakak tersenyum lebar. Titisan air mataku mengalir di pipi. Aku memeluk kakak dengan erat. Sudah tiga tahun aku tidak dapat berjumpa dengannya. Kakak mengusap rambutku. Secara tiba-tiba, terdengar ketukan di pintu. Aku pun terjaga dari tidurku.

Rupa-rupanya, ibu yang mengetuk pintu. Tetapi, kelibat kakak sudah tiada.
Kakak lesap begitu sahaja. Aku sedih dan pilu. Tetapi, rasanya seperti kakak sentiasa berada di sisiku.

"Kenapa adik terpekik tadi? Mengigau, ya? Tadi, sebelum tidur cuci kaki ke tidak?
Ibu terperanjat apabila adik pekik. Tengoklah, sekarang sudah berpeluh. Hish! Pergi cuci muka dan selepas itu tidur, ya?"kata ibuku yang kelihatan bimbang akan keadaanku.

Aku mengangguk, mengiakan sahaja apa yang ibuku katakan. Aku turuti
perintah ibu. Keesokan paginya, aku memberitahu ibu tentang mimpiku semalam. Ibu kehilangan kata-kata. Aku mengerti perasaan ibuku. Aku tahu ibu sedih. Lantas, aku menukar topik dan mengatakan bahawa aku ingin masuk bilik untuk belajar. Di dalam bilikku, aku duduk termenung di katilku. Peristiwa silam masih segar di kotak fikiranku.

Dahulu, sewaktu kakak masih ada, dialah yang memanjakanku dengan
memberikan apa sahaja yang aku minta. Jika aku tidak dapat apa yang aku mahu, aku akan menunjukkan perasaan marahku dan tidak akan menghiraukan kakak. Pernah sekali, ayah memarahiku kerana terlalu dimanjakan. Aku menangis teresak-esak. Baru sahaja ayah ingin melepaskan satu sepakan di pipiku, kakak berlari menuju ke hadapanku. Akhirnya, kakak yang ditampar. Rasa bersalah menyelubungi diriku. Aku bergegas ke bilikku lalu mengunci pintu. Selama tiga hari berturut-turut aku tidak keluar dari bilikku. Aku hanya membenarkan kakak masuk. Dia memujukki dan memasakkan aku sepinggan bubur. Aku terharu sekali.

Aku pun meminta maaf. Kakak seorang yang baik hati dan selalu memaafkan
orang lain dengan mudah. Malangnya, pada suatu hari, aku mengulangi kesilapanku dan kali ini, aku kehilangan satu-satunya orang yang amat kusayangi. Aku memarahi kakak kerana lambat menjemputku dari sekolah. Alasannya adalah kerana hujan lebat. Sukar baginya untuk keluar rumah dan berjalan ke sekolahku. Aku tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan. Setibanya dia di sekolah, aku merampas salah satu payung yang dibawanya. Lalu, aku pun keluar ke jalan raya.

Penglihatanku tidak jelas. Hujan turun dengan lebatnya. Suasana di situ kabus.
Tidak lama kemudian, hujan pun reda. Kakak terlari-lari mengejarku. Dia tahu aku marah dengannya. Dia memekik, memanggil namaku berulang kali. Aku cuma berbuat bodoh sahaja. Sampai sahaj di lampu trafik, aku hanya melintas tanpa melihat kiri atau kanan mahupun lampu isyarat.

"Adik, jaga!"teriak kakakku lalu menolakku ke tepi jalan raya.


Aku tersentak. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Sebentar kemudian, aku
menoleh ke arah kakak. Alangkah terperanjatnya aku! Kakak dilanggar kereta. Aku menjarit meminta tolong Pemandu itu tidak bertanggungjawab dan terus melarikan diri. Aku begitu marah sekali. Aku melalak sekuat-kuatnya.

Aku menyesal sekali. Kakak masih mampu tersenyum. Kepala kakak berlumuran darah.

"Adik, kalau kakak sudah tiada, adik jangan manja-manja lagi, ya? Adik harus berdikari. Adik sudah besar. Tidak boleh harapkan kakak lagi. Kakak sayang adik! Jaga ibu dan ayah baik-baik, ya? Jangan lupa kakak. Kakak akan sentiasa bersama adik dan menjaga adik. Kakak gembira dapat adik yang baik dan tidak nakal. Janji ya, jangan nakal lagi kalau kakak tiada?"kata-kata kakak terhenti di situ.

Aku tidak akan lupa apa yang telah kakak lakukan untukku selama ini. Semnjak itu, aku asyik teringatkan kakak. Dialah penyelamatku. Dia amat penyanyang. Aku sayang kakak. Setiap hari, aku berdoa untuk kakak agar jasa yang telah dia berikan di dunia akan terbalas di akhirat nanti. Hanya satu perkara yang aku tidak dapat katakan kepadanya sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu,"Maafkan adik, kak...". Itu yang membuatku menyesal selama tiga tahun ini.

"Adik, jom kita makan tengah hari,"terdengar ibuku memanggil dari luar. Aku kembali ke alam nyata. Peristiwa itu telah membuatku sentiasa berpesan kepada kawan-kawanku supaya melakukan sesuatu sebelum nasi menjadi bubur.

Itulah hasil karya saya sendiri. Saya harap rakan-rakan semua terhibur setelah membaca karangan saya! Nanti, jika rakan-rakan BML saya ada masa, mereka juga akan turut berkongsi hasil karya mereka sendiri. Jadi jangan lupa, ya untuk meninggalkan komen?

Salam sayang dari saya,
Nur Qamariah 6Courage :P

2 ulasan:

Nabilah . berkata...

Hello Qamariah , saya bekas murid Admiralty Pri . Karangan awak baik sekali ! (:

PENDUKUNG ARIF BUDIMAN berkata...

Terima kasih! Tentu Kak Nabilah juga boleh menghasilkan karangan yang lebih hebat!

-Qamariah
6Courage:P