SELAMAT DATANG...

Bunyi gendang bertalu-talu
Gendang dipukul anak Mak Cumi
Janganlah segan, janganlah malu
Singgahlah masuk ke halaman kami


Selasa, 20 April 2010

Lisan - Perbualan Berkaitan Gambar

Para pelajar sekalian, ujian lisan akan tiba tidak lama lagi. Sudahkah para pelajar bersedia? Hari ini cikgu ingin berkongsi tip-tip yang boleh pelajar gunakan semasa menjawab soalan bagi bahagian C: Perbualan Berkaitan Gambar. Bagi pelajar-pelajar darjah 6, kamu merupakan kohort pertama format baru ini.

Perbualan berkaitan gambar sebenarnya serupa dengan karangan bertulis yang pelajar selalu buat. Ini bermakna isi perbualan kamu perlu sistematik - ada rangka seperti permulaan, bahagian pertengahan (isi) dan juga pengakhiran (refleksi).

Aturkan isi-isi yang ingin disampaikan mengikut format 5W1H - Siapa? Bila? Di mana? Apa? Mengapa? dan Bagaimana?

Sebagai contoh: jika kamu mendapat gambar di taman haiwan sebagai gambar penerangan (bahagian B), soalan yang akan diajukan kepada kamu pastinya berkaitan dengan tema gambar tadi - tema: tempat awam, tempat menarik yang terdapat di Singapura atau sebagainya.

Soalan: Ceritakan pengalaman kamu melawat ke satu tempat menarik di Singapura.

Bagaimana kamu hendak menjawab soalan ini? Gunakan teknik yang telah cikgu terangkan di atas tadi:

Permulaan:
Saya pernah melwat ke sebuah tempat menarik di Singapura. Tempat itu adalah .......
Saya pergi ke sana bersama keluarga saya pada tahun lepas. Kami pergi ke sana kerana .......

Pertengahan (Isi):
Terangkan apa yang berlaku di tempat itu. Lebih baik lagi jika kamu dapat menceritakan satu peristiwa menarik yang berlaku semasa kamu berada di tempat itu. Terangkan juga perasaan atau reaksi kamu terhadap peristiwa yang berlaku itu.

Berikan sekali cadangan atau saranan kamu. Contoh: Pada pendapat saya..... atau Jika saya orang itu, saya akan ...... dan sebagainya.

Memberikan refleksi atau pengajaran yang kamu dapat daripada peristiwa atau lawatan itu juga perlu. Contoh: Peristiwa ini telah membuat saya ......

Cikgu berharap tip-tip ini dapat membantu para pelajar menjawab bahagian C dengan baik dan lancar. Yang penting, pelajar banyakkan membaca. Pada hari peperiksaan, tenangkan fikiran dan tidak perlu panik. Jawab soalan guru dengan tenang dan yakin.

Semoga para pelajar berjaya dengan cemerlang!


Salam hormat,
Cikgu Noor

Tiada ulasan: