SELAMAT DATANG...

Bunyi gendang bertalu-talu
Gendang dipukul anak Mak Cumi
Janganlah segan, janganlah malu
Singgahlah masuk ke halaman kami


Jumaat, 26 Jun 2009

Sudahkah kamu...

Sudahkah kamu
(1) menyelesaikan semua tugasan yang diberikan oleh guru?
(2) menyiapkan semua buku dan alat tulis yang perlu dibawa?
(3) mencuci sepatu sekolah?
(4) menggosok pakaian seragam sekolah?
(5) mengemas meja, katil dan bilik tidur?
(6) menolong ibu di rumah?
(7) membaca buku cerita?
(8) mencuci tangan selepas ke tandas?
(9) menjaga kebersihan diri?
(10) berjumpa doktor jika sakit?

Sila sambungkan lagi catatan di atas ini. Tuliskan di ruangan komen.


Cikgu Noor :)

Rabu, 17 Jun 2009

BULAN BAHASA

Salam Sejahtera semua pelajar...Tentu ramai yang sedang seronok bercuti pada waktu ini. Untuk pengetahuan para pelajar semua, kita akan menyambut Bulan Bahasa di sekolah kita pada bulan Julai nanti. Banyak aktiviti yang telah disiapkan oleh guru-guru untuk para pelajar.Bagi para pelajar yang ingin menunjukkan bakat, kamu boleh menyertai pertandingan BINTANG CILIK.

Pertandingan Bintang Cilik
Darjah 1 - menyanyikan lagu tradisional
Darjah 2- mempersembahkan pantun
Darjah 3- bercerita secara kreatif
Darjah 4- bercerita secara kreatif
Darjah 5- ulasan buku
Darjah 6- PIRAMIDA

Jika para pelajar berminat atau mempunyai apa-apa pertanyaan, silalah beritahu guru Bahasa Melayu kamu atau emelkepada kami,ya. Guru kamu akan sedia menerangkan kriteria-kriteria penyertaan bagi pertandingan Bintang Cilik tersebut. Kami juga menantikan sambutan hangat untuk pertandingan BIntang Cilik daripada kamu semua. Baiklah, samapai di sini sahaja, sehingga kita bertemu nanti.

SEMPURNAKAN BAHASA,GUNAKAN SENTIASA

Cikgu Fahizah

Khamis, 7 Mei 2009

Semoga Berjaya!

Musim peperiksaan sudah pun tiba. Para pelajar sudah pun menduduki kertas Bahasa Melayu. Cikgu berharap para pelajar tidaklah perlu memikirkan sangat tentang kertas yang sudah lepas itu, ya. Jika kita sudah membuat persiapan awal, tentu kita dapat menjawab soalan-soalan tanpa banyak masalah, kan?

Guru-guru bahasa Melayu di Admiralty mendoakan supaya para pelajar akan lulus dengan mendapat keputusan yang cemerlang. Oleh sebab masa sudah suntuk untuk bersengkang mata mengulang kaji, cikgu harap para pelajar akan tidur awal setiap hari. Ini untuk memastikan yang pelajar semua mendapat rehat yang secukupnya. Tidak guna kalau kita tidur hanya satu dua jam setiap malam tetapi terlalu mengantuk untuk berfikir semasa menduduki peperiksaan.

Salam hormat daripada cikgu.
Selamat maju jaya! :)

Sabtu, 25 April 2009

Ceritaku Ceritamu

Apa khabar pelajar semua? Bertemu kita sekali lagi pada minggu ini. Kalau minggu lepas, para pelajar telah dihidangkan dengan lagu dan diminta mencari perkataan berimbuhan dan membina ayat kamu sendiri, kali ini pelajar diajak menyambung permulaan cerita berikut. Cerita yang pelajar tulis mestilah berkaitan dengan lagu "Selamat Ulang Tahun Sayang". Rujuk pada lirik lagu untuk mendapatkan ilham pelajar. Panjang atau pendeknya cerita pelajar tidak terhad, ya tetapi janganlah hanya mengandungi sepotong ayat sahaja! Pelajar bolehlah menaipkan sambungan cerita di ruangan komen atau tulis di kertas dan berikan kepada guru bahasa Melayu kamu. Ayuh, apa lagi yang ditunggu! Gerakkan minda dan kreativiti kamu sekarang juga!


Hirman menatap kad ucapan hari lahir itu sambil tersenyum puas. Dia sudah tidak sabar lagi untuk ........

Cikgu nantikan kiriman pelajar dengan hati yang berdebar-debar! :)

Sabtu, 18 April 2009

Kayanya Bahasaku Bahagian 2

Murid-murid, cikgu telah meletakkan pautan ke klip video lagu 'Selamat Ulang Tahun Sayang' nyanyian Imran Ajmain. Lirik lagu ini telah diletakkan di bahagian kanan blog ini. Tujuan klip video dan lirik lagu dimuatkan dalam blog ini bukanlah hanya untuk berhibur sahaja. Kita juga boleh belajar daripada ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam sesesuatu lagu.

Untuk bulan ini, cikgu mahu murid-murid:

(1) Tonton klip video.
(2) Hayati lirik lagu yang disertakan.
(3) Cuba kenalpasti perkataan berimbuhan yang digunakan.
(4) Kemudian bina ayat-ayat murid sendiri dengan perkataan-perkataan tersebut.
(5) Akhir sekali, catatkan ayat-ayat murid di ruangan komen!

Kita berhibur sambil belajar, ya!

Kayanya Bahasaku...

Pernahkah murid-murid terfikir betapa kayanya bahasa kita? Ramai di antara murid-murid yang lebih senang bertutur dan berfikir dalam bahasa Inggeris sebelum menterjemahkannya ke bahasa Melayu. Mengapa begitu, ya?

Hari ini mari kita fikirkan bersama sambil kita luaskan kosa kata kita.

jerang, rebus, goreng, bakar, sangai, kukus, tanak merupakan beberapa perkataan yang menunjukkan cara-cara memasak.

Cikgu hendak murid-murid cuba fikirkan perkataan-perkataan yang boleh kita gunakan untuk menerangkan cara bercakap. Murid-murid selalunya menggunakan perkataan "bercakap" dalam karangan terutama selepas selesai sahaja sesuatu dialog padahal banyak lagi kekata yang boleh digunakan untuk menggantikan perkataan tersebut.

Sila tinggalkan jawapan murid di ruangan komen. Jangan lupa sertakan sekali nama murid dan kelas sekali, ya. Lebih elok jika kita mencatatkan nama kita daripada berselindung di sebalik kekata "Anonymous" atau "Yang Tiada Bernama".

Sabtu, 11 April 2009

Dirgahayu LENSA!

Salam sejahtera para pelajar sekalian,
Di sini dengan sukacitanya cikgu ingin mengumumkan bahawa "suis" lelaman kita ini telah dihidupkan semula! Cikgu berharap para pelajar rajin-rajinlah menjenguk ke lelaman ini sekurang-kurangnya dua minggu sekali, ya! Insyaallah, ada beberapa segmen baru yang akan dimulakan di sini. Segmen-segmen ini hanya akan berjaya jika mendapat sokongan dan penglibatan para pelajar.
Cikgu akhiri komen ini dengan serangkap pantun.


Silau cahaya si matahari
Tanda hari sudahlah pagi
Bermula LENSA sekali lagi
Untuk pelajar yang disayangi

Jumaat, 5 September 2008

Aksi-aksi para peserta peraduan Sahibba





Salam Sejahtera murid-murid,
Lihatlah aksi-aksi teman-teman kamu...bersungguh-sungguh mereka cuba membina perkataan-perkataan daripada jubin-jubin yang mereka ada.Permainan SAHIBBA ini dapat meluaskan kosa kata murid-murid :)

Cikgu Fahizah

Bercerita Secara Kreatif Darjah 5




Muhd Daniyal B Raihan – 5 CO
Muhd Ryan B Badrolhaizat- 5 CH
Khairulamirin B Razali – 5 CO

Bercerita Secara Kreatif Darjah 4




Juara Bercerita Secara Kreatif
Qistina Khalisah Bt Arman – 4 RS
Nur Atikah Bt Zainal – 4 RS
Nur Benazir Bt Mohammad Ismail – 4 JU

Peraduan Berpantun Secara Kreatif




Juara Berpantun Secara Kreatif-Putri Afifah Bt Abdul Sahar – 3 ET
Nurul Izzah Bt Juffri – 3 GR

Peraduan Eja Tepat Darjah 3






Juara Eja Tepat - Muhd Zunnurain Akmal B Ahmad Suhaimi – 3 GA

Selasa, 12 Ogos 2008

Keputusan Peraduan SAHIBBA 2008

Salam sejahtera murid-murid,

berikut adalah keputusan bagi peraduan SAHIBBA (darjah 4 & 5)yang telah dijalankan pada 6hb Ogos 2008 sempena sambutan BULAN BAHASA 2008. Untuk makluman semua, terdapat dua kategori pemenang bagi peraduan ini. Kategori pertama ialah kategori Juara SAHIBBA Individu dan yang kedua ialah kategori Juara SAHIBBA Berkumpulan. Syabas diucapkan kepada semua pemenang SAHIBBA. Bagi para peserta yang lain, jangan putus asa. Tahun hadapan kamu masih lagi berpeluang untuk mencuba nasib dalam peraduan ini, ya.

Juara SAHIBBA Individu Darjah 4
- Muhammad Syahmi Rosmadi 4GR (152 markah)

Juara SAHIBBA Berkumpulan Darjah 4
- Muhammad Syahmi Rosmadi 4GR
- Muhammad Faris Heizer 4GR
- Adilah Zulfah Ahmad Suhaimi 4LO
- Azyan Syazwani Mohd Adam 4GR (408 markah)


Juara SAHIBBA Individu Darjah 5
- Hedry Q Amani Rizal Numeiry 5GA (156 markah)

Juara SAHIBBA Berkumpulan Darjah 5
- Nurin Insyirah Zulhisham 5CO
- Ili Nursyaza Md Azli 5CH
- Nur Hidayati Mohd Kuzaini 5ET
- Anil Mohan 5JU (508 markah)

Cikgu Hamimah

Rabu, 9 Julai 2008

Kuiz Bulan Julai

Kuiz untuk bulan Julai

Cipta 6 perkataan baru daripada perkataan yang terdahulu. Kamu hanya boleh mengubah SATU HURUF sahaja bagi membentuk perkataan baru itu.

Contoh:

(1) malam
(2) kalam
(3) salam
(4) silam
(5) siram
(6) tiram

Baiklah inilah perkataan pertama - SARANG

Kamu perlu mencipta 6 perkataan baru daripada perkataan SARANG ini mengikut contoh yang telah diberikan di atas, ya! Baca arahan dengan teliti, tau!

Hantarkan jawapan kamu melalui EMEL ke alamat: JabatanBahasaMelayu@gmail.com sebelum 1 Ogos 2008. Jangan lupa tuliskan nama penuh kamu, kelas dan juga guru Bahasa Melayu kamu juga.


Selamat mencuba! Ingat - Siapa Cepat, Dia Dapat!

Sabtu, 28 Jun 2008

Bulan Bahasa

Baru-baru ini Bulan Bahasa telah dilancarkan dengan slogan SEMPURNAKAN BAHASA, GUNAKAN SENTIASA. Saya rasa slogan ini sangat sesuai memandangkan pencemaran Bahasa Melayu sering berlaku dan sudah ramai murid yang tidak begitu selesa menggunakan Bahasa Melayu kerana lebih selesa bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Sempena Bulan Bahasa ini juga, Sekolah Rendah Admiralty akan melancarkan Bulan Bahasa Ibundanya. Kami juga menyokong slogan yang sama. Guru-guru bahasa ibunda kita telah pun merancang dan menyediakan pelbagai aktiviti untuk menyokong slogan ini.

Sama-samalah kita nantikan...pelancarannya pada Khamis depan.

Jika kamu ada komen atau pendapat mengenai Bulan Bahasa atau Bulan Bahasa Ibunda sekolah kita ini, harap hantarkan komen di sini.

Sekian. Terima kasih.

:)Cikgu Hartini

Jumaat, 20 Jun 2008

Sekolah Dibuka Semula...

Apa khabar murid-murid yang cikgu sayangi? Bagaimana cuti sekolah Jun ini? Tentu banyak yang telah dilakukan... ada yang pergi bercuti... ada yang cuba untuk membaca seberapa banyak buku... dan ada juga yang datang ke sekolah untuk menghadiri kelas-kelas tambahan terutama murid-murid darjah 6. Namun begitu, cikgu yakin kamu semua telah menggunakan masa cuti sekolah ini dengan sebaik-baiknya.

Cuti sekolah ini juga, cikgu ada buat satu kajian pada kertas karangan murid-murid saya. Cikgu ada senaraikan kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan oleh murid-murid. Cikgu ingin berkongsi di sini tapi sedikit-sedikit kerana takut tidak dibaca oleh murid-murid kerana terlalu panjang. :)

1) ayat tergantung kerana tiada subjek

Sedang asyik bermain layang-layang, tiba-tiba tali layang-layang itu terputus.

2) ayat tergantung kerana tiada predikat

Sekarang Azman yang tinggal di Australia

3) ayat yang kata kerjanya menggunakan imbuhan yang salah

Amir perhatikan kawan-kawannya yang sedang bermain bola itu dari jauh.


Baiklah murid-murid, cikgu telah menyenaraikan tiga kesalahan di atas. Cuba kamu perbaiki kesalahan-kesalahan ini.

E-melkan ke alamat cikguhartini@yahoo.com.sg selewat-lewatnya 5 Julai 2008.

Sekian... jumpa lagi!!!

Salam sayang daripada Cikgu Hartini :)

Jumaat, 9 Mei 2008

Karnival Matematik dan Sains @ Pantai

Yayasan MENDAKI akan menganjurkan Karnival Matematik dan Sains @Pantai pada hari Sabtu, 17 Mei 2008 bertempat di Angsana Green, East Coast Park (berdekatan dengan tempat meletak kereta E2 dan Pusat Makanan East Coast). Beberapa aktiviti akan dijalankan pada hari tersebut seperti:

* Math Mastery Workshop oleh Adam Khoo Learning Centre
* Future of Science and Gaming oleh IBM
* Hands-on Exhibits oleh Singapore Science Centre

Selain daripada aktiviti-aktiviti ini, para pelajar juga boleh bermain "Pantas Pintas" bersama Suhaimi Yusof dan Rilla Melati. Pelajar yang meminati muzik pula boleh belajar Matematik melalui muzik bersama Didi Cazli dan Lovehunters. Ada juga persembahan silap mata oleh Imran.

Pelajar-pelajar dan ibu bapa digalakkan hadir ke karnival ini! Ayuh, pelajar-pelajar Admiralty, apa lagi yang ditunggu dan difikirkan? Beritahu ibu dan bapa tentang karnival ini. Luangkan masa pada 17 Mei untuk pergi ke karnival ini!

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Saudari Alia Latif di talian 6245 5764 atau
Saudara Hazri Munawar di talian 6245 5771.

Oh ya, masuk secara percuma! Tiada bayaran dikenakan, tau!


- Cikgu Noor -

Selasa, 6 Mei 2008

Kuiz Bulan Mei

Bagi kuiz bulan Mei, ini pelajar-pelajar perlu memikirkan 5 perkataan yang tercipta daripada suku kata terakhir perkataan yang sebelumnya. Sebagai contoh:

Bermula daripada perkataan "buku", kita boleh mencipta perkataan "kuda", -

buku - (1)kuda - (2)daki - (3)kira - (4)rasa - (5)sarapan

Pelajar tidak boleh mengulang semula perkataan yang telah diberikan atau digunakan. Perkataan-perkataan yang dicipta mestilah mengandungi sekurang-kurangnya dua suku kata.
Baiklah, perkataan yang akan cikgu berikan ialah:

BACA


Hantarkan jawapan-jawapan pelajar dengan secepat mungkin kerana hanya 10 penyertaan yang TEPAT dan CEPAT sahaja yang akan diterima sebagai pemenang!

Harap emelkan jawapan kamu ke alamat berikut:

JabatanBahasaMelayu@gmail.com

Jangan lupa tuliskan nama, kelas dan juga guru bahasa Melayu kamu juga.

Pelajar boleh menggunakan alamat emel LEAD.com kamu.

Tarikh tutup kuiz bulan Mei ialah 30 Mei 2008.

Jumaat, 2 Mei 2008

Keputusan Kuiz Bulan April

Cikgu telah menerima banyak penyertaan bagi kuiz Lensa bulan April ini. Malangnya, hanya 10 penyertaan yang pertama yang tiba dalam emel Jabatan atau pun yang diberikan kepada Cikgu melalui guru Bahasa Melayu pelajar-pelajar. Bagi mereka yang telah menghantarkan jawapan tetapi tidak terpilih, janganlah putus asa, ya. Bagi kuiz bulan Mei nanti, cubalah hantarkan jawapan kamu dengan secepat mungkin.

Inilah pemenang-pemenang bagi kuiz bulan April:

Peringkat P1 - P3:
1)Firdaus Abdul Mutalib - 3 Endurance (Guru: Cikgu Marwiyah)
2)Nuriffah Zafirah - 2 Challenge (Guru: Cikgu Sanisah)
3)Nur Batrisyia Abd Rasid - 1 Resilience (Cikgu Marwiyah)
4)Md Firdaus Md Moner - 3 Endurance (Cikgu Marwiyah)
5)Athirah Hassan - 2 Courage (Cikgu Sanisah)

Peringkat P4 - P6:
1)Nadiah Hazwani - 6 Endurance (Cikgu Hartini)
2)Adlyn Farzana - 6 Challenge (Cikgu Hartini)
3)Nur Qamariah - 4 Enterprise (Cikgu Azlinda)
4)Nur Aqilah Abd Rasid - 4 Gallantry (Cikgu Azlinda)
5)Junaidi - 6 Loyalty (Cikgu Wahid)

Tahniah diucapkan kepada pemenang bulan April!

Kuiz bagi bulan Mei akan dimuatnaikkan ke lelaman ini pada hari Isnin nanti, ya. Jadi bersabar dahulu!


- Cikgu Noor -

Jumaat, 4 April 2008

Kuiz Bulan April (P1 hingga P6)

Arahan: Bina 5 perkataan yang boleh dieja dari kiri ke kanan dan dari kanan ke kiri untuk membentuk perkataan yang sama.

Contoh: K A K A K

Perkataan-perkataan yang dibina mestilah mengandungi 5 huruf seperti contoh yang telah diberikan.

Hantarkan jawapan kamu ke alamat emel: JabatanBahasaMelayu@gmail.com atau kamu boleh juga menghantar jawapan kepada guru Bahasa Melayu kamu. Sertakan nama dan kelas kamu serta nama guru Bahasa Melayu kamu.

Tarikh tutup penyertaan: 30 April 2008

Kuiz ini dibuka kepada semua murid dari darjah 1 hingga darjah 6. 10 jawapan tepat yang pertama diterima akan mendapat hadiah.

Selamat mencuba!


- Cikgu Noor -