SELAMAT DATANG...

Bunyi gendang bertalu-talu
Gendang dipukul anak Mak Cumi
Janganlah segan, janganlah malu
Singgahlah masuk ke halaman kami


Sabtu, 25 April 2009

Ceritaku Ceritamu

Apa khabar pelajar semua? Bertemu kita sekali lagi pada minggu ini. Kalau minggu lepas, para pelajar telah dihidangkan dengan lagu dan diminta mencari perkataan berimbuhan dan membina ayat kamu sendiri, kali ini pelajar diajak menyambung permulaan cerita berikut. Cerita yang pelajar tulis mestilah berkaitan dengan lagu "Selamat Ulang Tahun Sayang". Rujuk pada lirik lagu untuk mendapatkan ilham pelajar. Panjang atau pendeknya cerita pelajar tidak terhad, ya tetapi janganlah hanya mengandungi sepotong ayat sahaja! Pelajar bolehlah menaipkan sambungan cerita di ruangan komen atau tulis di kertas dan berikan kepada guru bahasa Melayu kamu. Ayuh, apa lagi yang ditunggu! Gerakkan minda dan kreativiti kamu sekarang juga!


Hirman menatap kad ucapan hari lahir itu sambil tersenyum puas. Dia sudah tidak sabar lagi untuk ........

Cikgu nantikan kiriman pelajar dengan hati yang berdebar-debar! :)

Sabtu, 18 April 2009

Kayanya Bahasaku Bahagian 2

Murid-murid, cikgu telah meletakkan pautan ke klip video lagu 'Selamat Ulang Tahun Sayang' nyanyian Imran Ajmain. Lirik lagu ini telah diletakkan di bahagian kanan blog ini. Tujuan klip video dan lirik lagu dimuatkan dalam blog ini bukanlah hanya untuk berhibur sahaja. Kita juga boleh belajar daripada ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam sesesuatu lagu.

Untuk bulan ini, cikgu mahu murid-murid:

(1) Tonton klip video.
(2) Hayati lirik lagu yang disertakan.
(3) Cuba kenalpasti perkataan berimbuhan yang digunakan.
(4) Kemudian bina ayat-ayat murid sendiri dengan perkataan-perkataan tersebut.
(5) Akhir sekali, catatkan ayat-ayat murid di ruangan komen!

Kita berhibur sambil belajar, ya!

Kayanya Bahasaku...

Pernahkah murid-murid terfikir betapa kayanya bahasa kita? Ramai di antara murid-murid yang lebih senang bertutur dan berfikir dalam bahasa Inggeris sebelum menterjemahkannya ke bahasa Melayu. Mengapa begitu, ya?

Hari ini mari kita fikirkan bersama sambil kita luaskan kosa kata kita.

jerang, rebus, goreng, bakar, sangai, kukus, tanak merupakan beberapa perkataan yang menunjukkan cara-cara memasak.

Cikgu hendak murid-murid cuba fikirkan perkataan-perkataan yang boleh kita gunakan untuk menerangkan cara bercakap. Murid-murid selalunya menggunakan perkataan "bercakap" dalam karangan terutama selepas selesai sahaja sesuatu dialog padahal banyak lagi kekata yang boleh digunakan untuk menggantikan perkataan tersebut.

Sila tinggalkan jawapan murid di ruangan komen. Jangan lupa sertakan sekali nama murid dan kelas sekali, ya. Lebih elok jika kita mencatatkan nama kita daripada berselindung di sebalik kekata "Anonymous" atau "Yang Tiada Bernama".

Sabtu, 11 April 2009

Dirgahayu LENSA!

Salam sejahtera para pelajar sekalian,
Di sini dengan sukacitanya cikgu ingin mengumumkan bahawa "suis" lelaman kita ini telah dihidupkan semula! Cikgu berharap para pelajar rajin-rajinlah menjenguk ke lelaman ini sekurang-kurangnya dua minggu sekali, ya! Insyaallah, ada beberapa segmen baru yang akan dimulakan di sini. Segmen-segmen ini hanya akan berjaya jika mendapat sokongan dan penglibatan para pelajar.
Cikgu akhiri komen ini dengan serangkap pantun.


Silau cahaya si matahari
Tanda hari sudahlah pagi
Bermula LENSA sekali lagi
Untuk pelajar yang disayangi